DEPAY dijangka lebih menyerlah selepas sah beraksi dengan Barcelona musim depan. FOTO AFP
DEPAY dijangka lebih menyerlah selepas sah beraksi dengan Barcelona musim depan. FOTO AFP
AFP

Amsterdam: Jurulatih Belanda, Frank de Boer berharap prestasi Memphis Depay di Euro 2020 akan terus melonjak selepas penyerang itu sah akan menyertai Barcelona musim depan.

Depay sudah lama dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou dan semalam Barcelona mengumumkan pemain berusia 27 tahun itu sudah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk berpindah dari Lyon.

"Mungkin perpindahannya ke Barcelona akan memberikan semangat tambahan bagi membantunya beraksi lebih baik.

"Kami perlukan Memphis untuk berada pada tahap terbaik di kejohanan ini, kami yakin dengan kemampuannya dan dia juga seorang pemain berkeyakinan," kata De Boer menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan Euro 2020 menentang Macedonia Utara tengah malam Selasa.

Depay, yang meledak 20 gol dalam Ligue 1 bersama Lyon, menyempurnakan penalti ketika Belanda mengalahkan Austria 2-0 dan turut menyaksikan perlawanan itu ialah jurulatih Barcelona, Ronald Koeman.

Bagaimanapun, dia dikritik oleh sebilangan penyokong Belanda dan media kerana gagal menyempurnakan peluang lain.

"Saya yakin kritikan itu tidak akan mempengaruhinya," kata De Boer berkenaan bekas pemain Manchester United itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 10:53 PM