Pemain naturalisasi negara, Giulherme De Paula
Pemain naturalisasi negara, Giulherme De Paula
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nak pergi mana laju sangat berlari. Itu usikan netizen kepada tonggak ketiga naturalisasi negara Giulherme De Paula apabila secara tiba-tiba mendapat kekuatan luar biasa berlari dengan laju selepas menyumbat gol penalti ketika bertemu Vietnam awal pagi tadi.

Aksi spontan De Paula yang turut dipanggil Zulhelmi itu mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air kerana larian bertenaganya seolah-olah membuktikan sebenarnya dia berupaya melakukan perkara sama ketika beraksi di atas padang.

Menerusi beberapa portal dan laman sosial kumpulan penyokong Harimau Malaya, mempersoalkan tindakan De Paula yang mampu berlari laju ketika meraih gol namun enggan berbuat demikian untuk merampas bola daripada kaki pemain Vietnam.

Aksi De Paula yang menarik perhatian peminat.
Aksi De Paula yang menarik perhatian peminat.

Malah, memetik laman sosial malayantiger.co secara berseloroh larian pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mencecah 200km untuk meraikan gol penyamaan menentang Vietnam.

"Larian 200kmh ketika celebration membuktikan De Paula boleh berlari," katanya.

Terdahulu, kemampuan De Paula dipersoalkan malah dikatakan agak malas untuk mengejar atau merampas bola daripada pemain lawan.

Situasi berkenaan sekali gus ramai yang mahu Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe tidak menurunkan bekas pemain Perak dan Kuala Lumpur itu berdasarkan prestasi agak mengecewakan ketika menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perlawanan awal pagi tadi menyaksikan laluan skuad Harimau Malaya untuk ke pusingan seterusnya seolah sudah tertutup apabila tewas 1-2 kepada Vietnam dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Jelas sekali badi kekalahan kepada skuad Naga Emas menyaksikan pasukan negara kini berada di kedudukan keempat manakala Vietnam pula terus gah sebagai pendahulu kumpulan G.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 7:17 PM