WILLOW meramalkan England memenangi perlawanan esok. FOTO Agensi
WILLOW meramalkan England memenangi perlawanan esok. FOTO Agensi
Agensi

London: England akan menewaskan Croatia pada aksi pembukaan Kumpulan D Euro 2020 esok, menurut anjing paling bijak di England.

Anjing yang diberi nama Willow itu boleh mengira sehingga nombor 10, menyebut namanya dan mengenalpasti bentuk, malah kerap memberi ramalan yang tepat untuk beberapa acara utama.

Kini, Willow memilih England yang dibintangi Harry Kane memenangi perlawanan bertemu Croatia esok di Wembley.

Williow membuat ramalan itu semalam selepas diberikan tiga mangkuk yang setiap satunya diisi bola sepak.

Di depan setiap mangkuk itu tertera bendera England, Croatia dan mangkuk ketiga disertakan bendera kedua-dua negara menandakan keputusan seri.

Pemilik Willow, Charlotte Price, 30, kemudian bertanya kepada anjingnya itu siapakah yang akan memenangi perlawanan esok atau Willow lebih memilih keputusan seri.

Selepas beberapa saat, Willow memilih mangkuk yang tertera bendera England dan dengan rekodnya yang baik dalam melakukan ramalan, ia diharap membawa berita baik kepada anak buah Gareth Southgate.

"Ia sepatutnya memberi kelegaan kepada penyokong England. Willow tidak pernah silap dalam melakukan ramalan," kata Charlotte yang juga seorang guru.

Charlotte berkata, Willow pernah membuat ramalan peristiwa penting termasuk pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) antara Donald Trump dan Joe Biden dan tekaannya tepat apabila memilih Biden.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 8:31 AM