BARISAN peman England sedang menjalani latihan. FOTO AFP
BARISAN peman England sedang menjalani latihan. FOTO AFP
Agensi

Brussels: Jan Vertonghen dan Dries Mertens, dua pemain paling berpengalaman skuad Belgium berkata, mereka yang kini menduduki ranking teratas dunia bukan pasukan pilihan di Euro 2020.

Vertonghen, yang muncul pemain terbanyak beraksi bersama Belgium dengan 127 penampilan serta Mertens yang sudah melakukan 98 penampilan, kedua-duanya menamakan Perancis dan England sebagai pilihan utama di kejohanan kali ini.

"Saya tidak lihat kami sebagai pilihan utama tetapi jurangnya tidak terlalu jauh. Pilihan utama bagi saya adalah Perancis dan England," kata Vertonghen pada sidang media semalam.

"Tapi saya tahu kami boleh menewaskan mana-mana negara. Kami pernah menewaskan England beberapa kali sejak beberapa tahun lalu dan boleh melakukan perkara sama ke atas Perancis.

"Saya tidak fikir mana-mana negara mahu beraksi menentang kami. Ranking pertama dunia itu menunjukkan yang kami berada pada tahap terbaik tetapi bukanlah pilihan utama," kata pemain pertahanan berusia 34 tahun itu.

Mertens kemudian ditanya perkara sama sebelum menjawab: "Saya lihat juara dunia Perancis sebagai pilihan utama.

"England dan Itali di bawahnya dan kami juga berada di situ."

Mertens juga tidak bersetuju dengan pandangan Belgium mempunyai skuad yang terkuat untuk edisi kali ini selepas menamatkan saingan Piala Dunia 2018 di tempat ketiga.

"Saya tidak tahu sama ada kami kini lebih baik berbanding 2018 kerana kami beraksi tanpa Marouane (Fellaini), Moussa (Dembele) dan (Vincent) Kompany," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 11:39 AM