SYRIA menjadi pasukan kedua selepas Jepun menempah slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022. FOTO Ihsan AFC
SYRIA menjadi pasukan kedua selepas Jepun menempah slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022. FOTO Ihsan AFC
AFP

Doha: Syria menyertai Jepun untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia selepas dua gol pada separuh masa pertama Mardak Mardikian membolehkan mereka mengalahkan Guam 3-0 dan mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan A.

Kemenangan ketujuh Syria memastikan mereka berada dalam kelompok 12 pasukan untuk ke fasa kelayakan seterusnya sebelum memburu empat slot Asia ke Piala Dunia tahun depan di Qatar.

Mardikian mengambil kesempatan di atas tandukan lemah Alexander Lee untuk merembat masuk bola melepasi penjaga gol Guam, Dallas Jaye pada minit keenam.

Penyerang berusia 29 tahun itu menggandakan jaringan tiga minit kemudian hasil rembatan voli selepas menerima hantaran lintang Khaled Kerdagli.

Mahmoud Al Mawas, yang meledak hatrik ketika berdepan Maldives Jumaat lalu, menjadikan kedudukan 3-0 di hujung perlawanan sekali gus melengkapkan misi pengendali Nabil Moloul.

Satu lagi aksi Kumpulan A, menyaksikan China mengalahkan Filipina 2-0 bagi membolehkan mereka mencatat kemenangan keempat daripada enam perlawanan namun mereka ketinggalan lapan mata di belakang Syria dan mengharapkan menjadi antara empat pasukan terbaik menduduki tempat kedua.

Dalam Kumpulan C, Iraq membelasah Kemboja 4-1 untuk berada di tangga teratas dengan memungut 14 mata.

Mohannad Ali, Bashar Rasan dan Ali Adnan meledak gol pada separuh masa pertama, manakala Safaa Hadi menambah jaringan pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Iran pula melonjak ke tangga kedua selepas menumpaskan Bahrain 3-0 dan ketinggalan dua mata di belakang Iraq.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghidupkan peluang dalam Kumpulan G selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Thailand di Dubai.

Bagaimanapun, mereka masih lagi berada di belakang pendahulu kumpulan Vietnam yang menumpaskan Indonesia 4-0.

Sebelum itu, Jepun melepaskan gol pertama mereka di kelayakan Piala Dunia namun masih mampu untuk melakar kemenangan 4-1 ke atas Tajikistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 9:52 AM