Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak menolak kemungkinan perlawanan Piala AFC 2021 bagi zon Asean terpaksa ditunda sekali lagi atau beraksi di venue berkecuali jika tiada pasukan sanggup memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John berkata, perlawanan Piala AFC itu tetap diteruskan walaupun Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) menarik diri pada saat akhir.

Katanya, ketika ini tiada lagi pasukan yang tampil mahu menawarkan diri sebagai tuan rumah kepada saingan berkenaan sekali gus tidak menolak AFC terpaksa memilih venue berkecuali untuk meneruskan pertandingan itu.

"Kami mungkin akan menunda perlawanan terbabit jika tiada permintaan daripada pasukan tertentu yang mahu menjadi sebagai tuan rumah.

"Perlawanan terbabit tetap diteruskan dan kini AFC buka peluang kepada pasukan bertanding untuk memohon sebagai tuan rumah atau jika tiada mereka akan beraksi di stadium berkecuali," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, FAS membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi hos kepada Kumpulan H dan I dalam saingan Piala AFC 2021.

Singapura yang diwakili dua pasukan iaitu Lion City Sailors dan Geylang International membuat keputusan terbabit berikutan situasi Covid-19 yang tidak dijangka di rantau ini sekali gus pergerakan dari satu tempat ke satu tempat adalah satu perkara yang mencabar buat pasukan dari luar.

Mengikut rekod, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), akan berentap dalam Kumpulan H yang terdiri daripada Lion City Sailors (Singapura), Saigon FC (Vietnam) dan pemenang perlawanan play off 2 Zon Asean pada penghujung bulan depan.

Terengganu FC pula menghuni kumpulan I terdiri daripada Geylang International FC dari Singapura, Kaya FC-IIoilo (Filipina), wakil Myanmar, Shan United FC atau Ayeyawady United FC, bergantung kepada keputusan perlawanan peringkat awal dan play off Liga Juara-Juara AFC 2021.

Berikutan keputusan itu, ketika ini dilihat agak malang buat Terengganu dan KDA FC apabila baru sahaja mendapat kebenaran untuk berlatih secara kem latihan berpusat sebagai persiapan untuk Piala AFC.

AFC pula berdepan cabaran untuk mencari hos baharu, dengan Malaysia pastinya enggan menjadi hos memandangkan kes positif naik lebih 7,000 setakat ini, Filipina dan Indonesia juga mencatatkan lebih 6,000 kes.

Hanya Vietnam mempunyai angka kes yang rendah iaitu sekitar 200 kes ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 11:41 PM