SALAH watak penting kebangkitan Liverpool musim ini. FOTO EPA
SALAH watak penting kebangkitan Liverpool musim ini. FOTO EPA
Agensi

London: Bekas penjaga gol Liverpool, David James mendesak Jurgen Klopp menjual pemain bintang kelab itu, Mohamed Salah pada musim panas ini dalam usaha meraih dana untuk membentuk semula pasukan.

Salah sekali lagi muncul penjaring terbanyak Liverpool musim ini dengan 31 gol di semua pertandingan namun terlepas anugerah Kasut Emas kepada Harry Kane.

Ketika Liverpool melalui kempen sukar musim ini sekali gus gagal mempertahankan gelaran Liga Perdana, Salah terus mempamerkan aksi cemerlang di bahagian serangan.

Namun di sebalik pencapaian cemerlang itu, James menegaskan kini adalah masa paling sesuai untuk menjual Salah dan membandingkan situasi dialami bintang Mesir itu dengan Sergio Aguero di Manchester City.

Dia berkata, jentera serangan Liverpool mampu mempamer aksi lebih baik tanpa Salah.

"Saya rasa mereka perlu menyingkirkannya," kata James yang beraksi sebanyak 277 kali bersama Reds kepada Stadium Astro.

"Pada pandangan saya, dia mungkin penjaring kedua terbanyak dalam perebutan Kasut Emas tetapi saya rasa Liverpool mampu beraksi lebih baik tanpa Salah.

"Kini peluang Liverpool untuk menjual Salah. Liverpool mempunyai barisan serangan yang dinamik berbanding hanya bergantung kepada jaringan Salah."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 12:02 AM