RAHMAT dan rakan sepasukan mendapat suntikan vaksin pertama hari ini.   FOTO  Muhammad Rahmat Makasuf
RAHMAT dan rakan sepasukan mendapat suntikan vaksin pertama hari ini. FOTO Muhammad Rahmat Makasuf
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Selepas divaksin, saya lebih yakin dan selamat terutama bakal 'berkampung' di Singapura untuk menyertai saingan Piala AFC pada akhir Jun depan," kata pemain sayap Terengganu FC (TFC), Mohammad Rahmat Makasuf.

Pemain kelahiran Kampung Cheting, Kuala Berang berusia 24 tahun itu berkata demikian selepas selesai menerima vaksin pertama bersama barisan pemain dan pihak pengurusan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak hari ini.

Katanya, sebelum ini dia ternanti-nanti menerima vaksin itu bagi merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

"Ya saya tidak bimbang mendapatkan vaksin ini malah tidak sabar menerima suntikan, lagipun ia dapat menguatkan lagi tubuh badan kami. Jadi kami bersyukur kerana sudah mendapat suntikan pertama sebelum suntikan kedua pada 13 Jun depan," katanya ketika dihubungi.

Pandangan sama turut dikongsi pemain pertahanan, Muhammad Hafizal Mohamad yang turut teruja mendapat suntikan pertama vaksin itu sebelum menjalani latihan secara 'camp based training' yang disyaratkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Saya begitu teruja dan lebih yakin untuk beraksi di pentas Piala AFC dan juga Liga Malaysia (Liga M), kami dijadualkan bertolak pada 20 Jun depan ke Singapura untuk bersaing dengan tiga lagi pasukan pada pentas Asia itu," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan semua 19 pegawai dan 30 pemain TFC sudah menerima vaksin pertama pada hari ini disusuli 28 pemain pasukan Terengganu FC II (TFC II) dan 15 pegawai akan turut menerima vaksin pada minggu ini.

"Mereka diberi kebenaran khas mengambil vaksin terlebih dahulu bagi memenuhi kehendak MFL bagi meneruskan latihan sebagaimana ditetapkan melalui gelembung sukan setelah mendapat kebenaran daripada pihak kerajaan untuk mengadakan latihan.

"Kita harapkan pemain lebih bersemangat dan bersedia terutama bakal bersaing dalam Piala AFC di Stadium Jalan Besar Singapura bermula 30 Jun depan hingga 6 Julai selain Liga M," katanya kepada Sukan NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 9:44 PM