Samuel Somerville buru kesebelasan utama Harimau Malaya. FOTO IHSAN FAM
Samuel Somerville buru kesebelasan utama Harimau Malaya. FOTO IHSAN FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kali pertama dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya, penjaga gol Pulau Pinang, Samuel Somerville memasang impian untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan kelak.

Walaupun dianggap masih baru dalam skuad kebangsaan, bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang lebih mesra dengan panggilan Sam itu tidak gentar untuk bersaing dengan pemain lebih berpengalaman.

Sam berkata, ketika ini dia mahu membuktikan keupayaannya pada sesi latihan sekali gus diberikan peluang beraksi pada baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai.

Katanya, setiap penjaga gol yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan mempunyai kelebihan dan kemampuan tersendiri sekali gus mampu menggalas tanggungjawab jika tersenarai sebagai benteng terakhir pasukan.

"Ketika ini saya menjalani latihan dengan keadaan yang cukup baik bersama dua penjaga gol lain juga seperti sedia maklum cukup berpengalaman.

"Persaingan sebagai penjaga gol utama skuad Harimau Malaya adalah bagus dengan masing-masing akan mempamerkan aksi terbaik mereka.

"Mungkin kelebihan yang ada pada saya adalah sistematik dan lebih bersuara ketika berada di atas padang dalam usaha mengekang asakan pihak lawan," katanya pada sidang media secara dalam talian selepas sesi latihan hari ketiga skuad Harimau Malaya, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 7:02 AM