SYAHMI meluahkan kesedihannya dengan memuat naik di akaun Instagram mengenai kematian bayinya. FOTO AIZUDDIN SAAD
SYAHMI meluahkan kesedihannya dengan memuat naik di akaun Instagram mengenai kematian bayinya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: 'Kehilangan' tonggak Selangor FC Syahmi Safari yang lewat menyertai sesi latihan skuad Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila pemain itu sebenarnya diuji dengan anak perempuannya yang baru lahir meninggal dunia pada Jumaat lalu.

Antara tuntutan kepada negara dan pada masa sama berduka dengan kehilangan cahaya mata, Syahmi tetap menyertai sesi latihan pada hari kedua (semalam) dengan memberi komitmen tinggi dalam usaha membantu skuad Harimau Malaya menghadapi baki saingan Kelayakan Piala Asia 2022/Piala Dunia 2023.

Berita duka itu diketahui apabila pemain berkenaan meluahkan kesedihannya dengan memuat naik di akaun Instagram mengenai kematian bayi yang diberi nama Selam Rose Nayla binti Muhamad Syahmi.

"Masa 'baby' dalam perut dia takde bagi sakit dekat 'mommy' dia pun. Time nak bersalin baru rasa sakit kejap.

"Itu pun tengah 'push baby' dah keluar separuh kita boleh tertidur 2 kali sebab penat tak reti nak 'push' lagi dah. Alhamdullilah 14.5.2021, 10.27 pm 'baby' dah selamat keluar.

"Tapi 'baby' dah main dekat taman syurga," katanya.

Sementara itu, suasana duka turut menyelubungi kem latihan skuad Harimau Malaya pada sesi latihan pertama Ahad lalu sebaik berita berkenaan diketahui barisan pemain dan jurulatih.

Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berkata, barisan pemain dan jurulatih bersimpati terhadap berita sedih yang menimpa Syahmi dan keluarga.

"Sebagai manusia, pasti dia sedih. Kami akan terus memberi sokongan serta motivasi kepadanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:28 PM