CHENG Hoe berkata perkara penting ketika ini adalah mempersiapkan barisan pemain. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
CHENG Hoe berkata perkara penting ketika ini adalah mempersiapkan barisan pemain. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Satu tamparan hebat buat barisan pemain skuad Harimau Malaya apabila penarikan diri Korea Utara pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 memerlukan mereka bekerja lebih keras dengan sekurang-kurangnya mencatatkan semua kemenangan untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

Walaupun perkhabaran tindakan Korea Utara itu akan menyebabkan keputusan aksi menentang pasukan tercorot semua kumpulan tidak dikira belum lagi sahih namun ketika ini keyakinan dan mental pemain Harimau Malaya agak terjejas.

Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berkata, walaupun dilihat keputusan itu tidak memihak kepada skuad Harimau Malaya namun beliau tetap optimis anak buahnya mampu mencipta keputusan positif pada baki perlawanan kelayakan itu.

Katanya, perkara penting ketika ini adalah mempersiapkan barisan pemain dengan memastikan mereka bersedia mempamerkan aksi terbaik seterusnya menempah tiket untuk ke saingan seterusnya.

"Pada ketika ini boleh dikatakan keputusan terletak kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam menentukan apa jua tindakannya nanti.

"Saya akui perkhabaran itu agak menjejaskan keyakinan dan mental pemain namun kita kena berfikiran terbuka seterusnya menerima setiap keputusan nanti.

"Mengikut jangka masa yang ada sekarang ini, kita mempunyai masa mencukupi untuk mempersiapkan barisan pemain dengan semuanya kecuali Syahmi Safari sudah melapor diri hari ini.

"Syahmi akan lapor hari esok kerana dia ada hal keluarga dan tiada masalah untuk menyertai skuad kebangsaan kelak," katanya, dalam sidang media secara atas talian.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan mula menjalani latihan hari ini sebelum mengharungi dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait dan Bahrain.

Ia sebagai persiapan untuk menghabiskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai yang menyaksikan skuad kebangsaan akan berdepan UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.

Ketika ini, mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya apabila menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 11:07 PM