BARISAN pemain Real memperkatakan sesuatu kepada pengadil, Martinez Munuera. FOTO EPA
BARISAN pemain Real memperkatakan sesuatu kepada pengadil, Martinez Munuera. FOTO EPA
AFP

Madrid: Gol penyamaan Eden Hazard minit ke-94 menyelamatkan Real Madrid yang melakar keputusan seri 2-2 bertemu Sevilla dengan kontroversi keputusan penalti menyaksikan kejuaraan liga kembali berpihak kepada Atletico Madrid.

Skuad bimbingan Zinedine Zidane sudah menyamakan kedudukan menerusi Marco Asensio pada pertengahan separuh masa kedua dan berasakan mereka sepatutnya memperoleh sepakan penalti selepas Karim Benzema dijatuhkan.

Tetapi video bantuan pengadil (VAR) meminta pengadil, Juan Martinez Munuera memeriksa insiden Eder Militao menyentuh bola dengan tangan ketika sepakan sudut Sevilla sebelumnya.

Sebaliknya pengadil memberikan sepakan penalti kepada Sevilla dan disempurnakan Ivan Rakitic sebelum Hazard menyamakan kedudukan.

"Mereka perlu menjelaskan peraturan yang betul mengenai tangan itu kepada saya," kata Zidane.

"Tetapi kini kami harus memikirkan perlawanan seteusnya. Ia bukan dalam kawalan kami tetapi kami akan bersaing sehingga akhir, hingga mati."

Atletico mempunyai kelebihan dua mata di tangga teratas liga berbanding Real Madrid dan Barcelona dan peluang kejuaraan liga kembali berpihak kepada mereka.

"Kita dapat melihat setiap pasukan mencicirkan mata. Bermakna anda juga harus bergantung kepada tuah jika ingin memenangi liga," kata bintang Real, Luka Modric.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 9:00 AM