AKSI perlawanan Liga Super di antara Sabah FC menentang KDA FC di Stadium Likas malam ini yang menyaksikan tuan rumah 0 - 1. FOTO MOHD ADAM ARININ
AKSI perlawanan Liga Super di antara Sabah FC menentang KDA FC di Stadium Likas malam ini yang menyaksikan tuan rumah 0 - 1. FOTO MOHD ADAM ARININ
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Hasrat Sabah Football Club (FC) untuk mencatat tiga kemenangan berturut-turut di Stadium Likas, di sini, tidak kesampaian apabila mereka kecundang 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA), sebentar tadi.

Aksi 15 minit pertama menyaksikan KDA lebih banyak mengasak ke arah kubu Sabah FC termasuk cubaan Kpah Sherman yang berjaya melepasi Rawilson Batuil, namun, cubaannya sekadar singgah di jaring tepi pintu gol lawan.

Pada minit ke-20, Amri mencemaskan pasukan pelawat hasil cubaan dari tengah padang yang hampir memerangkap penjaga gol KDA, Mohd Shahril Sa'ari, namun ia tinggi melepasi palang.

KDA sekali lagi hampir mendahului pada minit ke-23 selepas berlaku salah faham antara penjaga gol dan pertahanan Sabah FC yang membolehkan Sherman merampas bola sebelum menggelecek Robson Rendy Rining tetapi cubaannya lemah dan berjaya dihalang pertahanan.

Pada minit ke-29, bintang baharu Sabah FC, Mohd Amri Yahya memperoleh peluang baik untuk menghasilkan gol namun bola yang jatuh betul-betul di hadapannya selepas perebutan bola antara penjaga gol KDA serta rakan sepasukannya gagal disudahkan dengan baik.

Seorang lagi penyerang sensasi KDA, Tchetche Kipre turut memiliki peluang pada minit ke-38 namun cubaannya di dalam kotak penalti tidak menepati sasaran dan kedudukan tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Dua minit selepas bermula babak kedua, Robson menjadi penyelamat Sabah FC selepas berjaya menepis keluar sepakan percuma leret cantik daripada pemain import KDA, Rabih Ataya.

Pada minit ke-58 perlawanan terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat dan hanya bersambung kira-kira setengah jam kemudian.

Walaupun perlawanan disambung semula, kedua-dua pasukan dilihat sukar untuk menguasai bola berikutan beberapa kawasan padang digenangi air.

Pada minit ke-65, KDA hampir berada di hadapan hasil rembatan Sherman namun ia diselamatkan penjaga gol dan susulan yang dibuat Ataya juga tidak menepati sasaran.

Pertahanan import KDA, Renan Alves juga hampir menjaringkan gol pada minit ke-76 namun tandukannya hasil daripada satu sepakan sudut hanya sedikit tersasar.

Gol yang dicari-cari KDA akhirnya hadir pada minit ke-80 selepas Sherman berjaya melepasi kawalan pertahanan dan melakukan penyudah baik bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah FC cuba mencari gol penyamaan pada minit ke-82 namun cubaan Amri terus ke dakapan penjaga gol.

Sabah kemudian melancarkan beberapa serangan untuk mencari gol penyamaan namun gagal diterjemahkan kepada jaringan dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 12:56 AM