FAKRULLAH Rosli. FOTO NAZRI ABU BAKAR
FAKRULLAH Rosli. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Penyerang Melaka United (MU), Fakrullah Rosli tekad menjaringkan gol ketika berdepan PJ City pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.

Selepas meledak jaringan saguhati buat skuad terbabit ketika tewas di tangan Sabah Rabu lalu dia jelas menjadikan aksi kali ini penebus kekalahan di Kota Kinabalu.

Menurutnya, sememangnya dia juga merasai tekanan terutama pasukan itu tewas tiga kali di tempat sendiri termasuk kali akhir kepada Kedah justeru dia mahu menghadiahkan jaringan bagi membantu kutipan tiga mata berharga.

Apapun, dia yang sering kali masuk sebagai pemain gantian tidak pernah menganggap ia faktor penghalang buatnya walaupun jumlah minit yang terhad tambahan dia perlu menyesuaikan diri dengan tempo permainan sebaliknya dia positif sebagai motivasi.

"Setakat ini saya berusaha habis-habisan untuk menterjemahkan sentuhan yang efektif dalam setiap aksi walaupun di turunkan dalam masa yang singkat.

"Saya akur dengan strategi jurulatih yang tahu apakah kelebihan yang ada terutama untuk menekan kubu lawan dalam baki setiap perlawanan yang dilalui," katanya.

Dia yang baru meledak satu gol setakat ini antara penyerang tempatan yang menjadi pilihan jurulatih Zainal Abidin Hassan ketika skuad itu terdesak mencari gol atau memecah strategi lawan.

Apapun, baginya berdepan PJ bukan mudah kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri namun semuanya tidak mustahil untuk meraih mata maksimum.

Justeru, dia tidak rela pasukan kehilangan mata untuk memastikan Melaka kekal di Liga Super 2021 selepas kedudukan pasukan berada dalam situasi bahaya ketika ini.

Malah dia juga percaya semua pemain turut bersedia untuk perlawanan esok sambil mengharapkan semua penyokong memberikan sokongan padu untuk perlawanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 5:11 PM