NEYMAR sambung kontrak empat tahun bersama PSG - FOTO AFP
NEYMAR sambung kontrak empat tahun bersama PSG - FOTO AFP
Agensi

Paris: Neymar akan menandatangani sambungan kontrak untuk empat tahun lagi bersama Paris Saint-Germain minggu ini.

Penyerang Brazil, 29, menyertai PSG pada 2017 dari pasukan La Liga, Barcelona dengan rekod perpindahan bernilai £198 juta (RM1,128.02 juta)

Neymar berkata, dia mahu meninggalkan Perancis pada 2019 dengan khabar angin mengatakan bahawa dia mahu kembali ke Barcelona tetapi akhirnya kekal bersama PSG yang mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu.

Kini dia sudah bersedia mempertaruhkan masa depannya bersama skuad Mauricio Pochettino dan menandatangani kontrak sambungan sehingga 2026 yang bernilai £26 juta (RM149.43 juta) semusim.

Kontrak itu turut didakwa merangkumi bonus besar sekiranya PSG memenangi Liga Juara-Juara untuk beberapa tahun akan datang.

PSG juga turut merancang menyambung kontrak Kylian Mbappe yang mana kontrak penyerang Perancis berusia 22 tahun itu tamat pada musim depan.

Pada sidang media PSG minggu lalu selepas dua tahun, Neymar berkata dia 'sangat gembira' bersama kelab dan memaklumkan bahawa kemungkinan menyambung kontraknya.

"Saya masih mempunyai baki kontrak di PSG. Kami mahu melakukan yang terbaik untuk semua orang.

"Saya sudah katakan bahawa saya gembira di sini dan saya berasa jauh lebih baik daripada musim-musim sebelumnya.

"Ada beberapa aspek yang saya perbaiki di sini. Saya juga melalui masa-masa yang sukar dengan orang ramai tahu mengenainya.

"Saya sentiasa berusaha keras dan sentiasa menjadi profesional bertentangan dengan kepercayaan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 12:13 PM