AB Ghani Hassan.
AB Ghani Hassan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika saingan Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan atau ditunda berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh dikatakan antara pihak yang berada dalam keadaan cukup tekanan.

Ini kerana jadual yang sangat padat dengan perlu merangka baki perlawanan termasuk mengambil kira saingan peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 di Singapura boleh dikatakan agak mustahil Liga Malaysia musim ini dapat dihabiskan seperti dirancang sebelum ini.

Situasi terbabit diakui Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan apabila mengharapkan saingan Liga Malaysia tidak dibatalkan walaupun terdapat peningkat kes jangkitan Covid-19 di beberapa negeri sekarang ini.

Beliau berkata, MFL ketika ini mengambil langkah optimum dengan memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) di semua venue perlawanan bagi memastikan tiada penularan Covid-19.

Katanya, MFL juga meletakkan syarat kepada semua pasukan termasuk individu yang berada di padang untuk menjalani ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) setiap kali perlawanan berlangsung sebagai langkah berjaga-jaga penularan pandemik terbabit.

"Kami tetap mematuhi arahan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika mengarahkan supaya saingan Liga Malaysia ditunda atau dibatalkan.

"Cuma boleh dikatakan kami berada dalam keadaan tekanan berikutan jadual Liga Malaysia sangat padat dan agak sukar untuk menyusun kembali jadual jika perlu menunda saingan itu. "Pada masa sama, mengambil langkah susulan dengan dahulu RTK-Antigen dilaksanakan untuk setiap tiga kali perlawanan namun individu berkaitan perlu berbuat demikian setiap kali saingan liga bagi membendung penularan Covid-19,"katanya ketika dihubungi Arena Metro. Selain itu, Ab Ghani berkata, pihaknya akan berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi semasa berkaitan penganjuran sukan.

"Kami tidak menolak kemungkinan tidak akan ada penonton dibenarkan hadir ke stadium berdasarkan lokasi perlawanan terbabit dilaksanakan PKP berikutan penambahan kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 11:24 PM