PEMAIN tengah JDT, Velazquez giat menjalani latihan menjelang pertembungan menentang KDA FC pada aksi di Stadium Darul Aman, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
PEMAIN tengah JDT, Velazquez giat menjalani latihan menjelang pertembungan menentang KDA FC pada aksi di Stadium Darul Aman, malam esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor

[email protected].

Johor Bahru: Aksi lebih berliku menanti Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila bertandang ke Alor Setar untuk berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok.

Walaupun anak didik Benjamin Mora pernah menewaskan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak 2-0 ketika aksi pembuka tirai liga dalam saingan merebut Piala Sumbangsih, namun itu cerita lama dan prestasi terumbang-ambing JDT bakal beri kelebihan buat skuad Lang Merah.

Apa tidaknya, skuad yang bergelar Harimau Selatan bagaikan hilang taring selepas tewas 0-1 kepada Terengganu FC pada aksi 24 April lalu dan terbaru hanya sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Jumaat lalu sekali gus gagal meraih tiga mata yang disasarkan dalam setiap perlawanan.

Untuk pertembungan menentang KDA FC, pengendali kelahiran Mexico itu perlu segera merencana strategi yang lebih ampuh dengan memperkemaskan lagi 'set-piece' yang tampak kurang menjadi bagi memburu jaringan dan tidak perlu 'menggali' taktik baru kerana corak permainan yang ditampilkan sudah berkesan.

Ini terbukti apabila setiap kali JDT meraih sepakan sudut, barisan pemain pasukan itu yang berada di dalam kotak penalti lawan gagal melakukan menjelmakan jaringan dan pastinya ia merugikan tatkala peluang mencipta gol menerusi sepakan sudut cukup tinggi.

Kelibat Arif Aiman Hussain yang kerap diturunkan tampak perlu direhatkan selepas mengharungi minit perlawanan yang begitu lama dan Mora harus menyenaraikan semula Safawi Rasid beraksi dalam skuad utama bagi mengembalikan sentuhan berbisanya.

Ketika aksi pertama menentang KDA FC, Bergson Da Silva belum disenaraikan dan ini peluang terbaik pemain import dari Brazil itu menebus kembali prestasi suram dalam dua perlawanan yang diharungi selain kelibat Leandro Velazquez yang beraksi di posisi harus memiliki kreativiti mencorak gerakan berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:02 PM