BARISAN pemain KDA FC giat menjalani latihan. FOTO FB KDA FC
BARISAN pemain KDA FC giat menjalani latihan. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak mahu pemainnya kekal fokus selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2, minggu lalu.

Jelasnya, momentum itu harus diteruskan bagi menghadapi cabaran seterusnya dalam usaha memburu tiga mata apabila berdepan Melaka United (MU) di tempat lawan yang dianggapnya satu misi sukar.

"Tidak mudah apabila menghadapi pasukan yang sudah mendapat rentak kemenangan seperti MU yang dilihat terus bersemangat selepas memperolehi mata penuh di Stadium Perak sebelum ini.

"Kami harus pastikan agar tidak silap langkah kerana motivasi mereka juga turut melonjak mahu mengutip mata kemenangan seterusnya di laman mereka sendiri.

"Bagi kami, setiap aspek kelemahan yang ada di semua posisi harus ditangani dengan baik dalam usaha pasukan untuk mencari tiga mata penuh," katanya.

Aidil juga berkata bagi setiap perlawanan yang dihadapi skuad Hijau Kuning, strategi berbeza bakal disajikan untuk memastikan taktikal dirancang tidak mudah dihidu pihak lawan.

"Kehadiran semula penyerang Kpah Sherman yang tamat penggantungan setelah satu perlawanan lalu juga akan memberi semangat tambahan buat semua pemain dan diharap gabungan ini dapat memberi kekuatan tambahan buat pasukan.

"Saya tetap mengingatkan semua pemain agar tidak mudah leka dengan kemenangan yang telah dicapai sebelum ini, malah mereka harus terus memperbaiki setiap kelemahan yang ada.

"Latihan yang dilakukan kini turut memberi fokus pada aspek kecergasan yang dilihat sangat penting dalam menghadapi jadual perlawanan yang padat. Ditambah pula pemain perlu mengamalkan diet pemakanan di bulan puasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 5:58 PM