AKSI  Correa (tengah) memperdayakan penjaga gol Milan untuk gol pertama Lazio. FOTO AFP
AKSI Correa (tengah) memperdayakan penjaga gol Milan untuk gol pertama Lazio. FOTO AFP
AFP

Rome: Joaquin Correa memastikan Lazio terus bersaing memburu tempat ke Liga Juara-Juara selepas menang 3-0 ke atas AC Milan manakala Napoli melonjak ke tangga ketiga apabila menewaskan Torino 2-0 pagi tadi.

Correa membuka tirai jaringan buat Lazio seawal minit pertama di Stadio Olimpico, Rome dan menambah gol kedua lima minit selepas rehat.

Ciro Immobile meledak gol terakhir ketika permainan berbaki tiga minit membolehkan Lazio kini lima mata di belakang slot kelayakan Liga Juara-Juara dan berkelebihan satu perlawanan berbanding pencabar lain.

"Ia seperti final bagi kami, peluang terakhir untuk kekal ketika kelompok empat teratas sukar dikejar. Ini kemenangan yang jelas selepas kami mendominasi sepenuhnya perlawanan," kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi kepada Sky Sport Italia.

Skuad Inzaghi kini berada di tangga keenam di belakang AC Milan yang sama 66 mata dengan Napoli dan Juventus yang menduduki tangga ketiga dan keempat tetapi Milan jatuh ke tangga kelima selepas dua kekalahan berturut-turut.

Mereka berada 13 mata di belakang pendahulu Inter Milan yang boleh mengesahkan gelaran liga pertama sejak 2010 pada Sabtu ini jika menewaslan Crotone manakala pasukan di tangga kedua, Atalanta gagal menang di Sassuolo keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 7:52 AM