Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane membalas sorakan peminat yang hadir ke stadium. FOTO AFP
Penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane membalas sorakan peminat yang hadir ke stadium. FOTO AFP
Agensi

London: Bekas pengendali Tottenham Hotspur, Harry Redknapp yakin penyerang utama, Harry Kane akan kekal beraksi di Spurs sehingga musim depan sekalipun spekulasi memuncak mengenai masa depan kapten England itu.

Kane dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah selepas dia mengakui maju memenangi kejuaraan utama dalam karier, sekali gus mengesahkan minat ditunjukkan daripada Manchester United, Manchester City dan Paris Saint-Germain.

Penyerang berusia 27 tahun itu sudah menjaringkan 31 gol dalam 44 penampilan untuk Spurs musim ini tetapi skuad Lilywhites mungkin berdepan ujian sukar untuk mengekalkan penyerangnya selepas gagal menjulang Piala Liga dan ketinggalan lima mata di belakang pasukan di tempat ke empat Chelsea dalam pemburuan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun, keyakinan Redknapp terganggu dalam memastikan Kane kekal di utara London dan bercakap kepada Goal dia berkata: "Saya fikir dia akan kekal. Saya fikir pengurus baharu akan menyertai pasukan dan meyakinkannya bahawa mereka akan melakukan perubahan dan menandatangani beberapa pemain baharu.

"Tiada pemain yang sehebat dirinya. Saya tidak akan menukarkannya dengan mana-mana penyerang tunggal di dunia, secara peribadi. Dia mungkin menjamin Man City, Man Utd atau Liverpool memenangi liga musim depan, sudah pasti. Dia seorang pemain hebat. Tottenham harus mengekalkannya.

"Semuanya sudah tersedia di Tottenham. Mereka mempunyai stadium terbaik di England, padang latihan yang menakjubkan dan pemain yang bagus.

"Ok, mungkin mereka perlu menukarkan satu atau dua yang sudah berada di penghujung karier mereka dan mendapatkan satu atau dua pemain untuk menguatkan pasukan. Tapi jika mereka lakukan." katanya.

Kane melakukan penampilan pertama dalam skuad Spurs pada 2011 dan sudah merekodkan lebih 331 penampilan dengan menjaringkan 219 gol dalam semua kejohanan bagi kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 11:02 PM