NEYMAR dijangka beraksi di Copa America bukannya di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
NEYMAR dijangka beraksi di Copa America bukannya di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Jurulatih skuad bola sepak Olimpik Brazil, Andre Jardine berkata, beliau mahu memilih penyerang bintang, Neymar untuk temasya di Tokyo tahun ini namun akui bahawa tugas berkenaan sangat sukar.

Neymar menjadi inspirasi kepada Brazil untuk meraih emas Olimpik pertama dalam bola sepak di laman sendiri pada 2016 sekali gus menamatkan buruan selama enam dekad.

"Jika diberi peluang kami mahu membariskan skuad terkuat, Neymar adalah pemain kami," kata Jardine.

Apa saja pembabitan mengenai Neymar harus mendapat persetujuan kelabnya, Paris Saint Germain (PSG) kerana ia bukan perkara wajib untuk melepaskan pemain yang menyertai pertandingan bukan penganjuran badan induk bola sepak misalnya, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Peluang Neymar, 29, untuk beraksi di temasya itu sangat sukar kerana dia dijangka beraksi di Copa America di Argentina dan Colombia dari 13 Jun hingga 11 Julai.

Saingan bola sepak di Olimpik akan bermula 10 hari kemudian dan ia dijangka berakhir pada 8 Ogos, dua hari selepas bermulanya Liga Perancis.

Brazil diundi dalam Kumpulan D bersama Jerman, Ivory Coast dan Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 12:44 PM