AB Ghani mengakui setakat ini semua pihak komited memastikan setiap perlawanan liga berlangsung dalam keadaan terkawal. FOTO NSTP
AB Ghani mengakui setakat ini semua pihak komited memastikan setiap perlawanan liga berlangsung dalam keadaan terkawal. FOTO NSTP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi jaminan saingan liga tidak akan mengalami 'gangguan' atau dibatalkan berdasarkan situasi semasa selepas semua pihak cemerlang mematuhi garis panduan yang ditetapkan badan pengelola liga itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, keyakinan itu dilihat berdasarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, setakat ini semua pihak komited memastikan setiap perlawanan liga berlangsung dalam keadaan terkawal tanpa sebarang perlanggaran SOP hingga menyebabkan penularan Covid-19.

Katanya, MFL sentiasa memantau situasi berkenaan malah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menarik balik kebenaran kemasukan penonton ke stadium.

"Berdasarkan situasi semasa dengan garis panduan yang ditetapkan pihak berkaitan, MFL yakin saingan liga pada musim ini dapat dihabiskan seperti dirancang.

"Kita tidak akan berhadapan dengan masalah selagi semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengambil berat terhadap kawalan pergerakan ketika berada di stadium.

"Ketika ini, hanya terdapat beberapa kesalahan kecil sahaja dilakukan pihak tertentu namun ia masih lagi terkawal," katanya.

Selain itu, Ab Ghani berkata, mahu semua pihak mengekalkan momentum cemerlang itu dengan tidak mengabaikan SOP pada perlawanan perlawanan liga akan datang.

"Sebab itu, kami sering mengingatkan semua pihak mengambil serius SOP yang ditetapkan dengan tidak berkumpul di perkarangan stadium selain mematuhi larangan pergerakan ketika berada di stadium.

"Jika semuanya dipatuhi dan diikuti, kami yakin Liga Malaysia dapat berlangsung sehingga penghujung musim tanpa sebarang masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 11:47 PM