Pemain Sarawak United (tengah) dicabar pemain PDRM dalam aksi Liga Perdana. FOTO Shafeeq Ahmad
Pemain Sarawak United (tengah) dicabar pemain PDRM dalam aksi Liga Perdana. FOTO Shafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: PDRM FC mencalar rekod tanpa kalah Sarawak United selepas mengatasi skuad terbabit 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Keputusan mengejutkan berkenaan memadam rekod tanpa kalah skuad bimbingan jurulatih E Elavarasan ketika persembahan skuad Borneo itu dilihat tidak seperti perlawanan awal mereka.

Sebaliknya PDRM yang dipimpin bekas pemain kebangsaan, Wan Rohaimi Wan Ismail menampilkan aksi lebih tersusun untuk mengumpul tiga mata.

Bagaimanapun, peluang meledak jaringan awal hadir buat Sarawak menerusi percubaan Christie Jayaseelan pada minit ke -10 namun rembatannya hanya tepat ke tiang kiri gawang pelawat.

Namun, PDRM juga bijak memberi tekanan kepada tuan rumah selepas rembatan Lazarus Kaimbi pada minit ke-17 berjaya ditepis keluar penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee.

Malah mereka hampir mengejutkan Sarawak menerusi rembatan menarik dari jarak 25 meter oleh Bruno Suzuki namun percubaannya sedikit tersasar ke kiri gawang tuan rumah.

Saingan penghujung babak pertama agak seimbang dengan serangan balas menerusi kedua-dua pasukan untuk memecah kebuntuan jaringan tidak berhasil.

Babak kedua menyaksikan PDRM lebih kerap menyerang untuk memastikan mereka mampu pulang ceria, namun rembatan Kaimbi pada m-50 berjaya diselamatkan Mohd Sarbinee.

Namun usaha The Cops akhirnya membuahkan hasil selepas Kaimbi mencetak gol pertama perlawanan menerusi jaringan penalti pada minit ke-59 perlawanan.

Penalti terbabit berpunca daripada tindakan Tommy Mawat yang menjatuhkan Alif Naquiddin Mohd Shouffi sekali gus mudah buat PDRM merobek gawang Sarawak.

Kecekapan Sharbinee yang bijak menutup ruang menyaksikan Sarawak United tidak bolos lebih besar namun gawang mereka sekali lagi bocor menerusi jaringan Nabil Ahmad Lapti pada minit ke-87 selepas mengutip hantaran Bruno.

Keputusan 2-0 itu mencatat kemenangan kedua PDRM dan kekalahan sulung buat Sarawak dalam saingan Liga Perdana setakat ini.

Keputusan perlawanan:

Liga Super

Sri Pahang 0 JDT 2

TFC 1 KL City 0

Liga Perdana

Sarawak United 0 PDRM 2

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 12:08 AM