Penyokong duduk dalam jarak yang ditetapkan mengikut SOP ketika menyaksikan aksi JDT menentang Melaka United. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Penyokong duduk dalam jarak yang ditetapkan mengikut SOP ketika menyaksikan aksi JDT menentang Melaka United. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Kedegilan segelintir penyokong bola sepak Liga Malaysia (Liga M) yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal ketika di dalam stadium bakal 'memakan diri'.

Antara tindakan tegas yang akan diambil oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) adalah dengan melarang kemasukan penyokong ke venue yang gagal mematuhi SOP itu.

Amaran terbabit disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan yang mengakui pihaknya ada menerima laporan berhubung kegagalan pasukan tuan rumah memastikan penyokong mematuhi penjarakan fizikal ketika perlawanan.

Katanya, MFL tidak akan berkompromi atau 'memberi muka' buat mana-mana venue didapati gagal mengikut arahan yang diberikan.

"Kita dapat banyak laporan daripada pemantau MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan sebagainya, sebab bila melanggar SOP yang pertama yang akan dipertikaikan kepada MFL sendiri selaku pengendali liga... semuanya akan datang ke MFL.

"Jadi sekiranya tidak ada perubahan (penyokong tuan rumah tidak ikut SOP), maka MFL akan membuat keputusan untuk tidak membenarkan venue itu dimasuki oleh penonton, dan itu sahaja yang boleh dibuat tentang ini," katanya pada majlis pelancaran dan undian unifi eMFL Liga Super 2021 hari ini.

Ditanya pasukan mana, Ghani enggan berkongsi maklumat terbabit namun mengakui peringatan sudah pun diberikan kepada pengurusan pasukan berkenaan.

"Itu (venue bermasalah) dalam pemantauan dan sudah diberikan untuk tindakan membetulkan keadaan, Insya Allah selepas perlawanan bulan puasa ini (jika venue itu masih bermasalah), saya rasakan akan diambil tindakan ke atas pasukan itu," katanya.

Terdahulu, selepas setahun saingan Liga M dilangsungkan tanpa penyokong ekoran penularan pandemik Covid-19 di negara ini, stadium kembali bergema dengan sorakan penyokong bermula pada 1 April lalu.

Bagaimanapun, kebenaran penonton ke stadium cukup ketat dengan setiap penyokong perlu mematuhi SOP yang digariskan oleh MKN dan MFL.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:17 PM