STADIUM San Mames di Bilbao masih belum diberikan kebenaran untuk membenarkan kemasukan penonton. FOTO AFP
STADIUM San Mames di Bilbao masih belum diberikan kebenaran untuk membenarkan kemasukan penonton. FOTO AFP
AFP

Lausanne: Lapan daripada 12 bandar yang menganjurkan saingan Euro membenarkan penonton untuk menyaksikan perlawanan berdasarkan kepada situasi semasa Covid-19, umum UEFA hari ini.

Manakala empat lagi bandar berisiko untuk digugurkan sebagai tuan rumah.

Munich, Rome, Bilbao dan Dublin kesemuanya diberikan masa sehingga 19 April untuk membentangkan perancangan mereka bagi membenarkan kemasukan penonton dengan badan bola sepak Eropah berkata, keputusan muktamad akan diumumkan pada tarikh itu.

Jawatankuasa eksekutif UEFA akan bertemu dan ada kemungkinan akan mengugurkan empat bandar itu daripada menganjurkan aksi Euro sekali gus membolehkan perlawanan membabitkan empat bandar itu dilangsungkan di bandar sedia ada.

Awal minggu ini Persatuan Bolasepak (FA) Ireland mengakui mereka tidak dapat memberi jaminan kebenaran kemasukan penonton dalam jumlah yang minimum di Dublin.

Bagaimanapun negara itu sedang bersiap untuk mengambil langkah menarik semula arahan perintah berkurung yang bermula sejak Disember tahun lalu.

Bilbao difahamkan berharap dapat membenarkan kemasukan 13,000 penonton untuk kapasiti 53,000 penonton di Sam Mames.

Namun ia bergantung kepada syarat ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan Persekutuan Bolasepak Sepanyol berkata agak sukar untuk melihat kemasukan penonton.

Munich pula menyatakan mereka hanya membenarkan kemasukan penonton di Allianz Arena jika situasi bertambah baik manakala kerajaan Itali sudah memberikan lampu hijau kepada penyokong untuk hadir ke Rome.

Bulan lalu, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menyatakan dengan tegas beliau tidak mahu mana-mana perlawanan berlangsung di stadium kosong pada saingan Euro.

Kejohanan berprestih itu akan bermula 11 Jun sehingga 11 Julai selepas tertangguh selama setahun berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 9:30 AM