OLIVER Buff berjaya menjaringkan gol ketika perlawanan Liga Super bertemu UiTM FC. FOTO Aswadi Alias
OLIVER Buff berjaya menjaringkan gol ketika perlawanan Liga Super bertemu UiTM FC. FOTO Aswadi Alias
Firdaus Hashim


Shah Alam: Selangor FC kembali pada landasan kemenangan apabila mudah menjinakkan UiTM FC dengan 2-0 yang berlangsung di Stadium Mini UiTM Shah Alam, hari ini.

Kejayaan melakar tiga mata penuh itu menyaksikan anak buah Karsten Neitzel berjaya menamatkan kemarau kemenangan dalam empat aksi Liga Super sebelum ini.

Kali terakhir skuad Red Giants meraih kemenangan adalah pada 6 Mac lalu apabila menundukkan Sri Pahang FC 3-1 sebelum tumbang dua kali dan seri juga dengan dua kali.

Bagaimanapun, kemampuan memungut kemenangan itu banyak dipengaruhi oleh kepantasan pemain sayap kiri, Nor Hakim Hassan apabila dua umpanannya membantu rakan sepasukan menyumbat gol.

Jaringan pertama pelawat diraih menerusi Oliver Buff selepas menerima hantaran Hakim pada minit ke-13 sebelum dia sekali lagi melakukan umpanan cantik buat Ifedayo Olusegun pada minit ke-40 untuk meletakkan Selangor FC mengakhiri babak pertama 2-0.

Bersambung separuh masa kedua, skuad The Lion Troops tampil lebih tersusun namun kekebalan bentang pertahanan Selangor FC berjaya menidakkan serangan tuan rumah.

Kemenangan Selangor FC itu menghidupkan kembali peluang untuk merebut kejuaraan apabila kini menghimpun lapan mata manakala UiTM FC terus berada di tangga tercorot dengan satu mata daripada enam aksi setakat ini.

Selepas ini, Selangor FC akan menanti kunjungan Kedah Darul Aman FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Selasa ini, manakala UiTM FC dijadual berdepan Perak FC di Ipoh pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 11:13 PM