ZAINAL meluahkan perasaan kecewa selepas barisan pemainnya mudah melakukan kesilapan yang menyebabkan kekalahan kepada JDT pad aksi  Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
ZAINAL meluahkan perasaan kecewa selepas barisan pemainnya mudah melakukan kesilapan yang menyebabkan kekalahan kepada JDT pad aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Aksi Melaka United FC (MUFC) yang tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi jelas mengecewakan pengendalinya, Zainal Abidin Hassan.

Bagi Zainal Abidin, skuad bimbingannya tampak tidak memberi tentangan terhadap anak didik Benjamin Mora sehingga mudah untuk JDT mencipta gol awal dalam tempoh lapan minit perlawanan bagi mendahului 2-0 dan pada babak kedua gawang mereka bolos lagi dan menamatkan perlawanan tewas 0-3.

"Amat kecewa bukan kerana mutu permainan MUFC, sebaliknya terlalu mudah membiarkan JDT menjaringkan gol awal dan semuanya berpunca daripada kesilapan pemain saya yang membuka ruang pasukan lawan mencipta gol.

"Dua gol awal itu menyukarkan kami untuk bangkit dan ia tampak rumit tatkala beraksi menentang JDT di laman mereka sendiri. Tidak dinafikan dua kesilapan mudah itu amat mengecewakan.

"Namun ada kesungguhan yang dilakukan pemain saya untuk memberi saingan memburu gol dengan mencipta beberapa peluang tapi gagal dimanfaatkan menerusi penyudah tepat.

"Apabila menentang JDT yang kita tahu ada kualiti tersendiri, kita tidak patut buat kesilapan kerana mereka pantas menghukum kita dan akan beri penjelasan kepada pemain supaya tidak lagi mengulangi kesilapan," katanya.

Zainal Abidin juga tidak menafikan betapa pemain import Jang Suk-won yang melakukan kesilapan sehingga memberi peluang pemain JDT menjaringkan gol tampak hilang keyakinan dan terpaksa bergelut dengan kecederaan yang dialami memaksa pemain itu dikeluarkan pada babak kedua.

Tambah bekas pemain kebangsaan itu tampak kurang berpuas hati dengan kualti permainan Alex Dos Santos Concalves yang kurang memberi sumbangan dalam perlawanan itu dan tidak memberi tekanan terhadap benteng lawan.

"Kita perlukan kelibat barisan pemain import untuk menyerlah bagi memastikan apa juga perancangan taktikal yang dibuat akan beri impak positif kepada pasukan. Tapi dalam perlawanan itu hanya Sony Norde yang bersungguh-sungguh.

"Ahmad Syamim (Yahya) juga tidak beraksi seperti biasa dan saya berharap situasi itu tidak berulang dalam aksi seterusnya nanti kerana kita tidak boleh lagi hilang mata dan perlu bangkit dengan lebih yakin tanpa membuat kesilapan mudah," kata Zainal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 10:58 AM