PENYERANG Belanda, Steven Berghuis (tengah) mengawal bola melepasi pertahanan Turki, Umut Meras (kiri) pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
PENYERANG Belanda, Steven Berghuis (tengah) mengawal bola melepasi pertahanan Turki, Umut Meras (kiri) pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
AFP

Istanbul: Belanda berdepan kekecewaan selepas tewas 2-4 kepada Turki di Istanbul pada aksi pembuka tirai kempen kelayakan Piala Dunia 2022 hari ini dengan Burak Yilmaz meledak hatrik untuk tuan rumah.

Turki mendahului 3-0 selepas berakhir babak pertama menerusi dua gol Yilmaz dan Hakan Calhanoglu namun pemain gantian, Davy Klaassen dan Luuk de Jong memberi harapan kepada Belanda di bawah bimbingan Frank de Boer.

Sepakan percuma Yilmaz kemudian mengesahkan kemenangan Turki pada perlawanan membabitkan dua pasukan pilihan dalam Kumpulan G.

"Keputusan yang sangat mengecewakan, begitu juga cara keputusan itu dihasilkan," kata De Boer kepada NOS TV.

"Kami tahu mereka akan menyerang menerusi serangan balas dan ia dilakukan ketika gol pertama. Tempo permainan kami sepatutnya lebih tinggi terutama pada separuh masa pertama."

Kekalahan itu memberi mimpi buruk kepada kempen awal Belanda yang gagal layak ke saingan Euro 2016 serta Piala Dunia 2018.

Mereka bagaimanapun masih kekal selaku antara pasukan pilihan menjelang saingan Euro 2020 yang ditangguhkan kepada tahun ini.

Ia juga adalah kemenangan kedua berturut-turut Turki ke atas Belanda selepas menewaskan lawan mereka itu 3-0 pada 2015 yang membantu layak ke saingan Euro 2016.

Belanda sudah tewas empat daripada sembilan perlawanan terakhir kempen kelayakan Piala Dunia selepas tidak pernah tewas sepanjang 34 perlawanan sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 7:26 AM