De Paula (tengah) menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya. FOTO Ihsan FAM
De Paula (tengah) menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: "Saya tahu ramai yang bercakap mengenai saya (prestasi) dan ini adalah masanya untuk membalas segala kritikan itu."

Itu antara janji pemain naturalisasi ketiga negara, Guilherme De Paula yang mahu membalas kritikan pihak tertentu yang meragui kemampuannya menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.

Malah, pada saingan awal Liga Malaysia, De Paula menjadi antara subjek 'debat' sesetengah pihak termasuk penyokong bola sepak tempatan yang melihat dia seolah tiada fungsi atau kurang menyengat di bahagian serangan.

Pemain kelahiran Brazil itu berkata, ketika ini dia mahu fokus kepada skuad kebangsaan dan memberikan persembahan terbaik sekali gus membuktikan bahawa kehadirannya dalam skuad Harimau Malaya adalah berbaloi,

"Saya gembira dengan barisan kejurulatihan yang sentiasa membantu dan menyokong malah memberi motivasi kepada pemain untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan.

"Ramai yang mengatakan mengenai prestasi saya dan mengetahui mengenai perkara namun tidak mahu memikirkannya kerana sekarang fokus adalah beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan," katanya, pada sidang media, selepas sesi kedua latihan skuad negara yang berlangsung di Pusat Latihan JDT di Johor Bahru, hari ini.

Selain itu, De Paula yang juga tonggak Perak FC bersedia menjadi sebagai mentor kepada pemain muda dalam skuad kebangsaan berdasarkan faktornya yang lebih 'otai' sekali gus tiada masalah bekerjasama dengan mereka.

"Saya mengetahui dalam pasukan ada ramai pemain muda berbakat seperti Luqman (Luqman Hakim Shamsuddin dan Ramadhan (Ramadhan Saifullah) yang mempunyai masa depan cerah.

"Semua pemain skuad kebangsaan cukup bagus dan saya gembira dapat menyertai mereka untuk menggalas cabaran negara," katanya.

Mengikut rekod, De Paula adalah naturalisasi ketiga negara selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

De Paula turut berjaya menutup mulut pengkritiknya apabila meledak dua gol ketika Perak FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Ahad lalu yang menyaksikan perlawanan berkesudahan seri 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 8:32 PM