AL Hafiz (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Selangor FC di Stadium MBPJ semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
AL Hafiz (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Selangor FC di Stadium MBPJ semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelincahan pemain sayap Penang FC, Al-Hafiz Harun adalah 'mimpi ngeri' buat Selangor FC hingga menyebabkan skuad Red Giants terpaksa menggigit jari tewas 0-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam semalam.

Ia disuarakan sendiri oleh pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel yang mengakui anak didiknya tumbang disebabkan tonggak skuad Harimau Kumbang itu.

Katanya, mereka menghadapi masalah untuk mengekang pergerakan Al-Hafiz yang begitu pantas ketika melakukan serangan balas hingga memerangkap barisan pertahanannya.

"Kami menghadapi masalah daripada serangan balas lawan terutamanya daripada pemain nombor 12 (Al-Hafiz) pada babak pertama, itulah punca kami kalah pada hari ini (malam semalam) dan bukannya disebabkan oleh kecergasan," katanya yang berasal dari Jerman.

Menurutnya lagi, pasukannya gagal mengekalkan prestasi sama ketika mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim Rabu lalu meskipun kali ini beraksi di halaman sendiri.

"Kami bermain dengan baik pada Rabu tetapi hari ini ia sangat berlainan. Pemain mencuba pelbagai cara, sudah tentunya kami kecewa. Ia keputusan yang buruk, kami gagal untuk menjaringkan gol daripada peluang yang ada.

"Kami memiliki dua peluang daripada Aliff Haiqal dan Ifedayo Olusegun. Jika mereka menjaringkan gol itu, ia akan memudahkan kami. Terutama sekali pada babak pertama, kami bermain terlalu perlahan daripada bawah," katanya.

Pada aksi itu, dua jaringan daripada setiap babak pada minit ke-38 dan 73 masing-masing menerusi Al-Hafiz dan Danial Ashraf untuk melengkapkan malam penuh bergaya buat skuad kendalian Tomas Trucha itu.

Kekalahan itu meletakkan Selangor FC kekal dengan lima mata untuk berada di pertengahan liga, manakala Penang FC berjaya memperbaiki kedudukan apabila mengumpul lapan mata selepas lima aksi Luga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 5:51 PM