PEMAIN JDT II, Syafiq Ahmas cuba menghalang pergerakan Nasrol Amri Kamarul Azhar pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. FOTO Ihsan Johor Souther Tigers.
PEMAIN JDT II, Syafiq Ahmas cuba menghalang pergerakan Nasrol Amri Kamarul Azhar pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. FOTO Ihsan Johor Souther Tigers.
Rizar Mohd Noor


Johor: Walaupun terpaksa menerima hakikat Perak FC II tumpas tipis 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II), pengendali pasukan itu, Syamsul Saad tetap menganggap barisan pemainnya `menang' pada aksi Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Katanya, kemenangan yang dimaksudkan adalah kemenangan moral tatkala berjaya membuat barisan skuad kendalian Rafael Gil Sanchez hampir `berputih mata' selepas mendominasi permainan dengan mengubah formasi taktikal selain hanya beraksi dengan pemain tempatan.

"Kita kalah 2-3.Tapi saya rasa secara moralnya pasukan saya `menang', cuma yang sedih kekalahan pada aksi itu agak sukar diterima oleh pemain saya apabila kita sudah beri tentangan sengit kepada JDT II malah kita tukar formasi permainan dan tidak menggunakan formasi 4-3-3, sebaliknya 3-4-3 yang tampak berkesan.

"Sasaran kita datang ke Larkin untuk menang dan perancangan yang dibuat berjalan dengan lancar selepas kita berjaya mendahului JDT II dua kali, namun rentak permainan anak buah saya terganggu dengan beberapa keputusan pengadil yang saya sendiri keliru.

"Situasi yang menyebabkan pemain saya hilang konsentrasi pada aksi itu apabila kami hendak melakukan pertukaran selepas pemain saya mengalami kecederaan di luar padang dan sedang dirawat.

"Tapi apa yang menghairankan saya apabila dua kali bola keluar daripada permainan, pemain gantian sudah bersedia untuk dimasukkan masih berada di tepi padang dan hampir empat minit insiden itu berlaku," katanya.

Syamsul berkata, beliau enggan mengulas lebih lanjut berhubung mutu pengadilan dan apa yang dikesali insiden berkenaan menyebabkan pemainnya tersentap dan hilang fokus malah ia menjejaskan rentak pemain Perak FC II.

Sementara itu, pengendali JDT, Sanchez menepis tanggapan barisan pemainnya tidak beraksi dengan baik dalam perlawanan itu apabila terpaksa bangkit dua kali sebelum melakar kemenangan tatkala menentang Perak FC II yang hanya dibarisi pemain tempatan.

Katanya, sama ada berdepan kesebelasan pemain tempatan atau beberapa pemain import dalam skuad lawan, ia bukan masalah kerana dalam permainan bola sepak kekuatan pasukan sendiri diutamakan.

"Itu sudah normal dalam permainan bola sepak, pemain tempatan yang diturunkan pasukan lawan memiliki kualiti yang baik tapi kami mampu mengimbangi kekuatan mereka untuk catat kemenangan dan ia penting buat kami.

"Rehat selama seminggu saya akan gunakan sepenuhnya untuk memperbaiki corak permainan terutama menyusun semula strategi yang lebih ampuh selain meningkatkan tahap kecergasan pemain," kata Sanchez.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 12:40 PM