PEMAIN Melaka United dituntut raih tiga mata berdepan KL City di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PEMAIN Melaka United dituntut raih tiga mata berdepan KL City di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Ketika Sentuhan barisan depan Melaka United (MU) masih belum 'menjadi', sentuhan penyerang importnya dari Montenegro, Stefan Nikolic sah belum dapat ditagih ketika berdepan KL City dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.

Ketua Pegawai Eksekutif MU, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, sememangnya pasukan amat memerlukan sentuhan pemain itu yang masih belum dapat diturunkan setakat ini, namun kecederaannya yang masih belum pulih sepenuhnya menyebabkan dia tidak akan diturunkan dalam perlawanan kelima berkenaan.

Katanya, pemain yang beraksi di negara-negara Balkan dan Eropah seperti Serbia, Romania, Russia, Poland, Croatia dan Bosnia itu kini dalam proses pemulihan akhir dan dia hanya dijangka bakal diturunkan ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2 April depan.

"Apapun, saya mahu semua pemain menggandakan usaha dalam pertemuan malam esok kerana tiga mata amat penting buat pasukan selepas sekadar seri dalam empat aksi berturut-turut.

"Justeru, kemenangan pertama harus diperoleh kali ini, tambahan perlawanan di gelanggang sendiri. Justeru fokus lebih jitu perlu diberikan untuk memastikan mata maksimum bakal menjadi milik pasukan," katanya.

Baginya, walaupun KL City memiliki reputasi gah selepas menewaskan Perak sebelum ini, namun dia yakin jurulatih Zainal Abidin Hassan akan membentuk strategi terbaik dalam melayan pelawat.

Saiful berkata, kesilapan yang berlaku dalam empat perlawanan lalu terutama dibocori lawan harus menjadi pengajaran ketika bertahan.

Sementara, kegagalan melakukan penyudah berkesan sepanjang perlawanan itu juga perlu diperbaiki pada aksi berdepan KL City kali ini.

Skuad terbabit yang digelar pakar seri selepas terikat 1-1 berdepan Terengganu Rabu lalu, jelas dilihat mahu menghapuskan 'badi' berkenaan namun mereka perlu bertindak lebih agresif memecah kubu lawan dalam masa sama lebih kental mempertahankan kubu pasukan.

Beliau berkata, dia sudah meminta Zainal dan pembantunya mencari resipi terbaik untuk memenuhi sasaran tiga mata di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 7:27 PM