Reezal Merican menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO FB Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO FB Reezal Merican Naina Merican
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sama seperti peminat bola sepak tanah air yang lain, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut merindui kelibat "pemain ke-12" dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang membuka tirai pada Jumaat lalu.

Menerusi entri di Facebooknya hari ini mengenai pemantauan prosedur operasi standard (SOP) ketika aksi Liga Super yang diadakan secara gelembung sukan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam tadi, beliau berkata kementerian sedang berusaha untuk membolehkan penyokong kembali ke stadium secara berperingkat.

Beliau berkata sebagai permulaan, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kapasiti sebenar stadium atau 4,000 orang, yang mana rendah, dijangka dibenarkan untuk hadir menyaksikan perlawanan.

"Terima kasih pihak kerajaan negeri, MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), pengurusan Penang FA (Persatuan Bolasepak Pulau Pinang), Penang FC dan pemain yang cukup teliti dalam memastikan gelembung sukan ini dapat menyediakan persekitaran kalis penularan (COVID-19) kepada semua yang terlibat," katanya.

Reezal Merican berkata beliau cukup optimis komitmen ini akan memberi keyakinan penuh kepada kerajaan bahawa sukan boleh dijalankan dengan selamat sekiranya pematuhan SOP diberikan keutamaan.

"Kita rindu sorakan pembakar semangat mereka pada setiap kali perlawanan diadakan. Betul tak? Insya Allah tak lama lagi. Saya pun tak dapat menghayati perlawanan kalau tengok bola tak ada penyokong," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Penang FC yang berjaya meraih tiga mata selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC, malam tadi.

Kempen Liga M 2021 membuka tirai pada Jumaat lalu apabila juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut menerusi kemenangan 2-0 ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim dalam suasana norma baharu.

Khamis lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan mungkin membenarkan kehadiran penonton di stadium pada skala kecil secara berperingkat apabila kes Covid-19 di negara ini dapat diturunkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 8:28 PM