AIDIL Sharin (kiri) dan Baddrol Bakhtiar memegang Piala Sumbangsih yang menjadi rebutan antara KDA FC dan JDT pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Rizar Mohd Noor
AIDIL Sharin (kiri) dan Baddrol Bakhtiar memegang Piala Sumbangsih yang menjadi rebutan antara KDA FC dan JDT pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Ketua juralatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Shahrin Sahak mengesahkan pemain pertahanan, Renan Alves masih belum cergas 100 peratus untuk diturunkan pada aksi Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Katanya, Renan tidak cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada perlawanan itu dan sudah ada pengganti bagi mengisi tempat pemain itu.

"Senario itu bukan baru buat saya selepas beberapa kali kehilangan pemain utama untuk diturunkan dalam perlawanan penting. Apa yang penting 11 pemain yang diturunkan memberi sepenuh komitmen apabila beraksi di padang.

"Selain Renan yang tidak cergas, pemain pertahanan Md Ariff Farhan Md Isa juga diketepikan selepas masih belum pulih daripada kecederaan di bahagian kepala dan tidak mahu ambil risiko malah dia perlu lebih kurang dua atau minggu untuk pulih.

"Saya juga ada mendapat informasi JDT akan menurunkan Fernando Rodriguez dan pernah beraksi bersama kami namun itu tidak merisaukan kami kerana pasukan lawan memiliki 11 pemain berkualiti dan perlu berwaspada dengan corak taktikal mereka," katanya.

Ditanya mengenai kehadiran bekas jurulatih penjaga gol JDT, Khairul Azman Mohamad yang kini bersama skuad Lang Merah sama ada beliau memberi informasi mengenai kekuatan dan kelemahan skuad Harimau Selatan, pengendali dari Singapura itu tidak menafikan beberapa maklumat dikongsi olehnya.

"Saya bawa Khairul Azman ke KDA FC bukan untuk mendapatkan informasi mengenai JDT tapi lebih kepada pengalamannya. Namun ia perkara biasa setiap jurulatih tidak kira Khairul Azman atau penolong jurulatih akan beri `tip' mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan lawan," katanya.

Sementara itu, kapten Baddrol Bakhtiar mahu menjadikan kemenangan merangkul Piala Sumbangsih pada musim 2017 ketika tewaskan JDT 5-4 menerusi sepakan penalti selepas seri 1-1 bakal pencetus semangat untuk turun beraksi dengan konsisten.

"Pengalaman itu bakal dijadikan azimat untuk beri persembahan terbaik berdepan JDT. Kami akan berusaha beri yang terbaik untuk bawa pulang tiga mata dan piala pertama musim ini," kata Baddrol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 8:13 PM