MORA (kiri) dan Aidil Zafuan Abd Radzak memegang Piala Sumbangsih yang menjadi rebutan antara JDT dan KDA FC pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Rizar Mohd Noor
MORA (kiri) dan Aidil Zafuan Abd Radzak memegang Piala Sumbangsih yang menjadi rebutan antara JDT dan KDA FC pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok. FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora enggan meletakkan kejayaan pada musim lalu sebagai ukuran sebaliknya pemburuan merangkul Piala Sumbangsih ibarat piala pertama yang ingin dimenangi.

Pastinya bagi Mora pertembungan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi pembuka tirai Liga Super dan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok ibarat pertembungan buku dan ruas.

Katanya, persiapan rapi dilakukan sepanjang sesi latihan walaupun terpaksa berlatih di Johor namun beberapa perlawanan pemanas badan bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT II) tampak beri kesan terutama kekuatan fizikal dan mental pemain.

"Walaupun kami sudah menang beberapa piala musim lalu, tapi saya tidak mahu meletakkan pencapaian lalu sebagai penanda aras, sebaliknya saya anggap ia piala pertama yang kami buru dan cuba sedaya upaya untuk memenangi dan mengutip tiga mata.

"Memang pemain kurang mendapat minit perlawanan yang kompetitif tapi kami sudah merangka latihan agresif selain beberapa perlawanan bersama JDT II dan juga aksi antara sesama sendiri dan tampak beri kesan positif dalam persiapan pasukan," katanya.

Ditanya sama ada pemain import JDT II, Fernando Rodriguez akan diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi menentang skuad kendalian Aidil Sharin Sahak, pengendali kelahiran Mexico sekadar memaklumkan pemain import dari Brazil sudah menjalani latihan bersama JDT.

"Kita tengok bagaimana keadaan sama ada Fernando akan diturunkan atau tidak kerana selain pemain itu kelibat Hazwan Bakiri dan Syafiq Ahmad menunjukkan peningkatan yang baik pada sesi latihan dan ini beri ruang kepada saya membuat pilihan.

"Untuk pertembungan menentang Kedah, kami mahu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit dan cuba elak daripada sepakan penalti kerana saya tidak gemar sepakan penalti. Memang menggerunkan," kata Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 7:13 PM