HAMIDIN (kiri) pada majlis pelancaran Liga-M, 1 Mac lalu. FOTO FB MFL
HAMIDIN (kiri) pada majlis pelancaran Liga-M, 1 Mac lalu. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin boleh dianggap wira bola sepak tempatan di atas kejayaannya menarik masuk jumlah tajaan sebanyak RM33.4 juta ketika kebanyakan sektor ekonomi sedang terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19.

Malah, ia juga membuktikan bahawa Liga-M masih memiliki nilai yang tinggi di kaca mata penaja.

Lantas, kebijaksanaan Hamidin dalam meyakinkan pelabur bagi mendapatkan tajaan harus dicontohi pasukan bertanding dalam mencari penaja untuk kelangsungan pasukan masing-masing.

Bekas pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, kejayaan MFL itu membuktikan bahawa Liga-M masih memiliki nilai yang tinggi di kaca mata penaja.

"Bagi saya nilai ini adalah sesuatu yang tinggi jika hendak dilihat situasi pada masa kini dan apabila Hamidin mengumumkan jumlah itu pada sidang media, jadi beliau memang yakin dengan angka berkenaan.

"Beliau berjaya melakukan tugas yang baik dalam soal ini sebagai Presiden MFL dan mungkin pihak lain kena belajar sesuatu terutama pasukan kelab dalam soal mencari penaja," katanya.

Pada Pelancaran Liga-M 2021 yang berlangsung Isnin lalu, Hamidin mengumumkan jumlah keseluruhan penajaan bagi saingan Liga-M musim ini adalah sebanyak RM33.4 juta.

Beliau turut memberi bayangan jumlah itu bakal bertambah kerana masih terdapat beberapa perbincangan tajaan yang belum dimuktamadkan sambil berkata pengumuman itu dibuat bagi memastikan semua pihak memahami secara jelas mengenai perkara itu selepas tahun lalu jumlah berkenaan tidak diberitahu kepada umum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:59 PM