AB Ghani akui MFL sentiasa mencari mekanisme terbaik untuk memastikan petugas media dapat menjalankan tugas membuat liputan bola sepak di peringkat domestik. FOTO Ihsan MFL
AB Ghani akui MFL sentiasa mencari mekanisme terbaik untuk memastikan petugas media dapat menjalankan tugas membuat liputan bola sepak di peringkat domestik. FOTO Ihsan MFL
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyarankan barisan petugas media sukan bola sepak Malaysia supaya mengambil RTK Antigen bagi memastikan keselamatan gelembung Liga Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya sentiasa menghargai peranan media yang turut dianggap salah satu petugas barisan hadapan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Jelasnya, MFL sentiasa mencari mekanisme terbaik untuk memastikan barisan petugas media dapat menjalankan tugas untuk membuat liputan bola sepak di peringkat domestik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya selaku penganjur Liga Malaysia juga memiliki tanggungjawab tersendiri di mana bertindak memastikan gelembung bola sepak Malaysia berada dalam keadaan selamat.

"Saya ingin menyentuh beberapa perkara selepas kenyataan Presiden Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM), Datuk Jasni Shafie terhadap tuntutan berkenaan kos RTK Antigen untuk liputan Liga Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sejak 15 Februari 2021, Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membenarkan program latihan berpusat kepada pasukan Liga Malaysia dengan amalan standard prosedur operasi (SOP) iaitu Home atau Camp Quarantine.

"Susulan daripada itu, pasukan Liga Malaysia diwajibkan untuk terus kekal dalam gelembung bagi memastikan Liga Malaysia yang bakal bermula pada 5 Mac kekal bebas daripada sebarang ancaman wabak Covid-19.

"MFL selaku penganjur liga tempatan diberikan tanggungjawab untuk memastikan gelembung ini tidak dibocori selaras tuntutan SOP daripada pihak kerajaan di mana tiada pihak terkecuali dengan perintah ini termasuk Menteri," katanya.

Tambah Ab Ghani, MFL juga mengenakan peraturan wajib mengambil RTK Antigen kepada mana-mana media sahaja yang terbabit secara langsung di kawasan berhampiran dengan pasukan.

Katanya, media masih diberikan kelonggaran untuk mengadakan sesi sidang media tetapi harus mengikuti SOP ketat seperti yang disediakan.

Jelasnya lagi, keseluruhan SOP Liga Malaysia ini kemungkinan akan berlaku kelonggaran tetapi ia mengikut keadaan semasa pandemik Covid-19 serta sesi perbincangan bersama MFL dan KBS.

"Oleh sebab demikian, MFL hanya menuntut kepada media bergerak ke Field Of Play (FOP) sahaja diwajibkan mengambil RTK Antigen. Dan kebiasaannya petugas yang berada di FOP hanya jurugambar dan juruvideo sahaja.

"MFL memahami bebanan yang ditanggung petugas media dalam mengharungi pandemik Covid-19 ini, kerana itu MFL memberikan sedikit kelonggaran media yang berada di kawasan media tribune dan bilik sidang media tidak perlu menjalani ujian RTK Antigen namun dengan SOP ketat yang perlu dipatuhi.

Jadi di sini, wartawan, jurugambar dan juruvideo yang tidak turun ke kawasan FOP, tidak perlu mengambil RTK Antigen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 10:31 PM