SCARLETT masuk sebagai pemain gantian dan melakukan hantaran yang menghasilkan jaringan. FOTO AFP
SCARLETT masuk sebagai pemain gantian dan melakukan hantaran yang menghasilkan jaringan. FOTO AFP
AFP

London: Jose Mourinho membandingkan 'permata' baru, Dane Scarlett dengan Marcus Rashford selepas pemain berusia 16 tahun itu memberi impak ketika Tottenham menang 4-0 dalam saingan Liga Europa menentang Wolfsberger.

Bos Spurs itu mengambil peluang dengan memberi ruang kepada pemain muda ketika aksi perlawanan kedua tatkala mereka berjaya mara ke pusingan 16 akhir dengan kejayaan agregat 8-1.

Ia peluang terbaik buat Mourinho untuk menghidangkan sesuatu yang positif selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam karier pengurusannya ketika ini.

Kalah enam perlawanan dalam lapan aksi terakhir semua kejohanan menyaksikan Tottenham berada di tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tersingkir dari saingan Piala FA.

Memenangi saingan Liga Europa adalah peluang terbaik buat mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Scarlett adalah pemain pertama berusia 16 tahun melakukan hantaran menghasilkan jaringan di Liga Europa sejak Kylian Mbappe melakukannya pada 2015 ketika Monaco menentang Tottenham.

Prestasi berkenaan membuatkan Mourinho yakin Scarlett sudah bersedia untuk dinaikkan ke skuad utama musim depan.

"Dia adalah permata, pemain muda yang berpotensi tinggi. Dia akan berusia 17 tahun bulan depan dan saya mahu dia menjadi sebahagian daripada skuad utama musim depan," kata Mourinho.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 9:29 PM