MBAPPE muncul pemain paling bernilai. FOTO AFP
MBAPPE muncul pemain paling bernilai. FOTO AFP
Agensi

London: Kylian Mbappe dinobat selaku pemain paling bernilai di dunia manakala Erling Haaland tidak berada dalam senarai 10 pemain terbaik kategori berkenaan.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) berusia 22 tahun itu mempercepatkan usahanya untuk muncul pemain paling terhebat di dunia.

Mbappe baru-baru ini memalukan Barcelona apabila meledak hatrik ketika PSG melakar kemenangan 4-1 pada aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara di Nou Camp.

Menurut KPMG, Mbappe yang sudah pun memenangi Piala Dunia, selesa memegang status selaku pemain paling bernilai.

Nilai pasaran pemain Perancis itu dianggarkan sekitar £159 juta (RM909.3 juta) di sebalik dunia terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Ia menjadikan Mbappe £50 juta (RM285.9 juta) lebih bernilai berbanding barisan pemain lain di muka bumi.

Mbappe menjadi sasaran utama Real Madrid yang mahu membentuk skuad baru.

Los Blancos mahu mendapatkan pemain bintang PSG itu pada musim panas.

Kelab itu berharap dapat menggandingkannya dengan Haaland pada 2022 dengan Real difahamkan sudah pun mencapai persetujuan bersama Dortmund yang membenarkan pemain itu berhijrah pada tahun depan dengan yuran perpindahan £63 juta (RM360.3 juta).

Bagaimanapun Haaland yang turut menjadi sasaran Chelsea serta Manchester United, sekadar menduduki tangga ke-11 pemain paling bernilai dengan anggaran harga £95 juta (RM543.3 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 2:42 PM