SILVA (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
SILVA (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Budapest: Manchester City semakin hampir melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Borussia Moenchengladbach hari ini namun jurulatih Pep Guardiola menegaskan pasukannya perlu lebih tajam di barisan depan.

Tandukan separuh masa pertama menerusi Bernardo Silva dan gol sumbangan Gabriel Jesus di babak kedua aksi pertama pusingan 16 terakhir meneruskan rekod kemenangan skuad bimbingan Guardiola kepada 19 perlawanan dalam semua pertandingan.

City yang mendahului Liga Perdana Inggeris, menguasai hampir keseluruhan permainan yang terpaksa dilangsungkan di Hungary kerana larangan memasuki Jerman berikutan pandemik Covid-19.

Meskipun mendominasi permainan, City terpaksa mengambil masa untuk menewaskan barisan pertahanan Jerman terutama bintang Algeria, Ramy Bensebaini.

Walaupun Guardiola gembira dengan keputusan itu, beliau menambah City perlu memperbaiki prestasi dalam usaha untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.

"Kami menguasai perlawanan. Malangnya kami tidak begitu tajam di barisan depan. Ia sesuatu yang perlu kami perbaiki pada saingan ini.

"Kami tidak begitu bagus di dalam kotak penalti. Dalam pertandingan seperti ini anda perlu mempamer aksi sempurna untuk memastikan layak ke saingan seterusnya," kata Guardiola.

Sementara itu ketua jurulatih Moenchengladbach, Marco Rose akur dengan kekalahan barisan pemainnya.

"Kami tewas berdepan lawan yang sangat kuat. Anda tidak mempunyai banyak peluang terbaik bertemu lawan seperti mereka.

Sukar untuk kami melakukan serangan. Adalah lebih baik jika kami dapat menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 7:39 AM