SUAREZ cemerlang bersama Atletico. FOTO AFP
SUAREZ cemerlang bersama Atletico. FOTO AFP
Agensi

Madrid: Luis Suarez mengakui terkejut selepas dimaklumkan dia tidak diperlukan di Barcelona oleh Ronald Koeman.

Penyerang Uruguay itu menghabiskan tempoh enam musim di Nou Camp dengan membantu Barcelona memenangi empat kejuaraan La Liga dan juga Liga Juara-Juara.

Dia juga muncul penjaring terbanyak kelab dengan meledak 198 gol di semua pertandingan.

Selepas menggantikan Quique Setien pada Ogos tahun lalu, Suarez dimaklumkan oleh Koeman bahawa dia tidak berada dalam perancangan pengendali Belanda itu sekali gus menyaksikannya menyertai Atletico Madrid.

Bercakap kepada El Transitor, Suarez meluahkan perasaannya terpaksa meninggalkan Barcelona.

"Apabila Barcelona memberitahu saya bahawa mereka tidak memerlukan khidmat saya, ia sangat sukar. Saya tidak menjangkakannya.

"Koeman memanggil saya bahawa saya tidak berada dalam perancangannya. Selepas pengumuman rasmi, perbincangan sudah berlangsung bersama Atletico.

"Terdapat banyak tawaran kelab lain, bukan saja Juventus. Saya mahu melakukan keputusan yang tepat untuk diri sendiri dan keluarga," katanya.

Suarez nyata tidak menyesal dengan keputusannya untuk menyertai Atletico yang kini menduduki tangga teratas liga dengan kelebihan 10 mata.

Malah Suarez sendiri muncul penjaring terbanyak La Liga setakat ini dengan 14 gol.

Suarez juga memuji impak yang diberikan oleh jurulatih Atletico, Diego Simeone terhadap prestasi permainannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 9:04 PM