SALAH meraikan gol keduanya. FOTO AFP
SALAH meraikan gol keduanya. FOTO AFP
AFP

London: Jurgen Klopp melabelkan Mohamed Salah sebagai 'luar biasa' selepas bintang Mesir itu menamatkan kemarau jaringan di Liga Perdana apabila meledak dua gol ketika membantu Liverpool menewaskan West Ham 3-1, hari ini.

Salah melalui enam perlawanan liga tanpa dapat menjaringkan gol sehinggalah dia menamatkan kemarau itu di babak kedua, iaitu gol pertamanya sejak Disember tahun lalu.

Bintang berusia 28 tahun itu menambah satu lagi gol untuk memastikan Liverpool meraih kemenangan kali kedua berturut-turut di saingan liga.

Salah muncul pemain pertama menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol disemua pertandingan sepanjang empat musim bersama Liverpool sejak Ian Rush melakukannya sekitar 1980-an.

Georginio Wijnaldum menambah gol ketiga Liverpool sekali gus menyaksikan Liverpool melonjak di tangga ketiga liga.

"Apa yang Salah lakukan hasil hantaran Shaqiri adalah luar biasa. Sentuhan pertamanya menakjubkan," kata Klopp mengenai gol kedua Salah.

Selepas lima perlawanan tanpa kemenangan, juara bertahan itu kini menunjukkan tanda kebangkitan dengan menewaskan Tottenham 3-1 dan kemudian membenam West Ham dengan jaringan sama.

"Barisan pemain ini sangat bagus. Mereka tidak akan berasa gembira jika gagal meraih kejayaan. Mereka sentiasa mempunyai sikap itu," kata Klopp.

"Kami bercakap mengenainya sejak beberapa minggu lalu dan menemui jalan penyelesaian. Ia adalah perlawanan yang hebat dan sangat profesional bertemu lawan yang hebat."

Craig Dawson menjaringkan gol saguhati untuk West Ham minit ke-87.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 7:56 AM