REAKSI kecewa barisan pemain Real selepas tewas kepada Levante. FOTO EPA
REAKSI kecewa barisan pemain Real selepas tewas kepada Levante. FOTO EPA
AFP

Madrid: Real Madrid menyaksikan Eder Militao dibuang padang ketika tewas 1-2 kepada Levante hari ini sekali gus membuka peluang kepada Atletico Madrid untuk menjarakkan diri kepada 10 mata di tangga teratas La Liga.

Real selaku juara bertahan menduduki tangga kedua dengan ketinggalan tujuh mata di belakang Atletico yang masih berkelebihan dua perlawanan.

Militao dilayangkan kad merah pada minit ke-9 di Stadium Alfredo di Stefano dengan pasukannya tidak dapat menggunakan kapten, Sergio Ramos yang berdepan kecederaan serta tanpa jurulatih, Zinedine Zidane yang memenuhi tempoh kuarantin selepas positif Covid-19.

Marco Asensio meletakkan Real di depan empat minit selepas itu namun Jose Luis Morales menyamakan kedudukan ketika hujung babak pertama sebelum Roger Marti menjaringkan gol kemenangan.

Dengan Real tewas sekali lagi, ia terus membuka peluang kepada Atletico untuk merangkul kejuaraan La Liga yang kali terakhir dimenangi pada 2014.

"Pasukan berasa sedih di bilik persalinan. Tetapi mereka tetap bersemangat bersaing sehingga tamat perlawanan," kata pembantu Zidane, David Bettoni yang mengambil alih tugas buat sementara.

"Anda perlu terus bersaing kerana aksi liga hanya akan berakhir pada Mei.

"Benar Atletico terus mencatat kemenangan dan kekal di tangga teratas tapi kami juga perlu melakar kemenangan dan berharap pasukan lain mengalami kekalahan," kata penjaga gol Real, Thibaut Courtois.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 9:14 AM