KLOPP tidak kisah jika gagal mendapatkan pemain yang diinginkan bulan ini. FOTO AFP
KLOPP tidak kisah jika gagal mendapatkan pemain yang diinginkan bulan ini. FOTO AFP
AFP

London: Jurgen Klopp berjanji tidak akan menangis seperti kanak-kanak berusia lima thaun jika Liverpool gagal untuk membawa masuk pemain yang dimahukan pada jendela perpindahan Januari.

Pasukan bimbingan Klopp yang dihimpit masalah kecederaan itu tergelincir di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas lima perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Penyandang juara itu berada enam mata di belakang pendahulu Manchester United dan kalah di Anfield dalam perlawanan liga buat kali pertama sejak 2017 apabila Burnley menumpaskan mereka 0-1 semalam.

Krisis yang dihadapi Liverpool ialah kecederaan membabitkan barisan pertahanan seperti

Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip.

Van Dijk dan Gomez mengalami kecederaan jangka panjang, manakala Matip berdepan masalah kecergasan, memaksa Klop menggunakan pemain tengah, Fabinho dan Jordan Henderson sebagai pertahanan tengah.

Klopp berkata pengurusan tertinggi yang mengawal kewangan berkuasa mutlak terhadap sebarang pembelian pemain ketika Covid-19 memberi kesan terhadap kelab.

"Saya bukan lagi budak lima tahun, apabila saya tidak dapat apa yang saya mahukan, saya akan mula menangis.

"Sebahagian besar dalam kehidupan, saya tidak dapat apa yang saya mahukan. Mungkin kita semua sudah biasa dengan keadaan itu.

"Saya bertanggungjawab dalam sebahagian besar kelab ini, tapi ada orang bertanggungjawab terhadap semua perkara dan saya tidak boleh membuat keputusan bagi pihak mereka.

'Saya tahu mereka bersama kami dan mereka mahu menyokong dan mereka melakukannya," kata Klopp menjelang pertembungan pusingan keempat Piala FA menentang United awal pagi Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 12:50 PM