PEMAIN Juventus meraikan kejayaan menjulang Piala Super Itali selepas menumpaskan Napoli di final. FOTO EPA
PEMAIN Juventus meraikan kejayaan menjulang Piala Super Itali selepas menumpaskan Napoli di final. FOTO EPA
AFP

Reggio Emilia: Andrea Pirlo meraih trofi pertama sebagai jurulatih apabila Juventus berjaya mengalahkan Napoli dalam perlawanan akhir Piala Super Itali.

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-20 musim ini hasil jaringan pada minit ke-64 yang berpunca daripada sepakan penjuru di Reggio Emilia, sebelum ketua pasukan Napoli, Lorenzo Insigne gagal menjaringkan penalti dan Alvaro Morata menambah gol kedua di masa kecederaan.

Pirlo, 41, meraih trofi sulung selepas lima bulan memegang jawatan jurulatih dan sebelum ini sebagai pemain beliau pernah membantu Juventus meraih empat kejuaraan liga.

"Meraih trofi pertama (sebagai jurulatih) adalah sangat menggembirakan, berbeza ketika menjadi pemain, malah ia lebih istimewa," kata Pirlo yang pernah meraih trofi berkenaan sebagai tiga kali ketika menjadi pemain Juventus dan AC Milan.

"Trofi ini sangat penting kerana ia boleh meningkat keyakinan kami bagi baki saingan musim ini," kata Ronaldo.

Juventus berada di kedudukan kelima Serie A, 10 mata di belakang pendahulu, AC Milan selepas kalah 0-2 kepada pasukan di tangga kedua, Inter Milan hujung minggu lalu.

"Meraih Scudetto adalah sangat mustahil, Milan dan Inter sangat kuat namun masih banyak lagi perlawanan perlu ditempuh dan kami masih boleh melakukannya," kata Ronaldo.

Ia juga adalah pertemuan pertama antara Pirlo dan jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso, yang memenangi Piala Dunia bersama-sama pada 2006 dan menghabiskan masa selama sedekad sebagai rakan sepasukan di AC Milan.

Kedua-dua mereka juga berjaya meraih kejuaraan Serie A dan Liga Juara-Juara bersama-sama sebanyak dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 8:21 AM