BADRUL Afzan (kiri) tidak panik walaupun skuad hanya dibarisi tiga import musim ini. FOTO Ihsan TFC
BADRUL Afzan (kiri) tidak panik walaupun skuad hanya dibarisi tiga import musim ini. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun naib juara Liga Perdana musim lalu, Terengganu FC II (TFC II) hanya menyenaraikan tiga tonggak import bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) 2021, pengendalinya, Badrul Afzan Razali tidak panik.

Malah bekas arkitek skuad Terengganu itu percaya kombinasi pemain tempatan berkualiti mampu menjadi tulang belakang pasukan bagi memburu kedudukan yang lebih baik biarpun skuad itu mensasarkan lima kelompok teratas liga.

"Bagi saya pemain import ini adalah kekuatan pasukan kita, walaupun hanya tiga berbanding empat pemain musim lalu, ia tidak semestinya kita bermain untuk kalah, jadi kita perlu perbaiki untuk memburu kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Saya juga percaya kepada semua termasuk pemain tempatan, jika mereka diberi pendedahan perlawanan secara konsisten, mereka mampu menjadi watak penting dalam pasukan.

"Namun begitu semua pemain perlu bekerja lebih keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bagi memastikan pasukan terus berdaya saing dalam aksi liga dan juga Piala Cabaran," katanya kepada Sukan NSTP.

Musim ini skuad The Turtles yang turut dibantu bekas penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Subri Sulong mengekalkan dua tonggak import musim lalu iaitu Argzim Redzovic (pertahanan) dan penyerang, Jordan Mintah serta menyenaraikan bekas pemain tengah Kelantan kelahiran Jepun, Masaki Watanabe.

Bekas pemain Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah, Johor FC dan FELDA United itu juga menaikkan 'pangkat' empat pemain skuad Piala Presiden iaitu Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar (tengah), Muhammad Syaiful Haqim Shahrul (tengah), Muhammad Syafiq Danial Mohd Romzi (pertahanan) dan Muhammad Firdaus Rusdi juga pertahanan.

Mengulas mengenai latihan pasukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jurulatih kelahiran Kemaman berusia 45 tahun itu kini hanya melakukan latihan pada sebelah pagi.

"Bagi menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, kami melakukan dua sesi latihan pada sebelah pagi enam kali seminggu dengan 10 pemain pada setiap sesi.

"Walaupun tidak dapat meneruskan latihan seperti biasa, mereka tetap bersemangat kerana dapat turun menjalani latihan di padang," katanya yang bakal merancang tarikh baharu aksi persahabatan selepas tarikh sebelum ini dibatalkan berikutan PKPB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 5:51 PM