KHABIB (bawah dua kanan) bergambar bersama Seedorf (atas tengah) selepas tamat perlawanan. FOTO Agensi
KHABIB (bawah dua kanan) bergambar bersama Seedorf (atas tengah) selepas tamat perlawanan. FOTO Agensi
Agensi

Dubai: Legenda UFC, Khabib Nurmagomedov membuat lawannya bergelut pada perlawanan bola sepak di Dubai yang menampilkan legenda Belanda, Clarence Seedorf.

Satu rakaman video menunjukkan Khabib berjaya mengawal bola dengan baik sebelum mengatasi pertahanan lawan selain mempunyai kepantasan di bahagian sayap.

Khabib kemudian memuat naik gambar selepas tamat perlawanan bersama-sama bekas bintang AC Milan, Seedorf.

Khabib, 32, yang bersara dari UFC tahun lalu, adalah peminat nombor satu sukan bola sepak dan meminati kelab Liverpool serta Real Madrid.

Dia juga mempunyai hubungan baik bersama bintang bola sepak dunia yang beraksi bersama Juventus, Cristiano Ronaldo.

Khabib pernah mendedahkan mengagumi pencapaian luar biasa Ronaldo dan berkata, dia lebih gemar memilih sukan bola sepak berbanding bertarung di dalam gelanggang.

Menerusi temuramah di UFC pada tahun lalu, Khabib berkata: "Ketika saya bertemu Cristiano, saya mempunyai banyak soalan untuk ditanyakan kepadanya.

"Saya ingin tahu bagaimana dia berjaya mengekalkan motivasi dirinya sehingga mampu menjadi yang terbaik selama 17 tahun.

"Sejak 2003, dia sudah berada di tahap tertinggi dan setiap kali di hujung musim, dia sentiasa berada dalam kedudukan 10 pemain terbaik dunia.

"Lebih menarik, dia adalah pemain terbaik Eropah dan dunia sepanjang tujuh atau lapan tahun berturut-turut."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 9:06 AM