PERLAWANAN antara Real Madird menentang Osasuna tetap diteruskan biarpun padang dipenuhi salji. FOTO EPA
PERLAWANAN antara Real Madird menentang Osasuna tetap diteruskan biarpun padang dipenuhi salji. FOTO EPA
AFP

Madrid: Zinedine Zidane menegaskan keputusan seri tanpa jaringan Real Madrid ketika berdepan Osasuna semalam 'bukan perlawanan bola sepak' dan seharusnya dibatalkan selepas Sepanyol dilanda ribut salji.

Madrid terlepas peluang untuk mengatasi Atletico Madrid di persada La Liga dan membiarkan Barcelona menghampiri selepas Lionel Messi meledakkan dua gol untuk pasukan itu menang 4-0 ke atas Granada.

Perlawanan Atletico di tempat sendiri menentang Athletic Bilbao awal Sabtu lalu ditunda berikutan salji tebal dan itu bermakna pasukan Diego Simeone masih kekal selaku pendahulu dengan tiga perlawanan di tangan.

Padang Osasuna, Pamplona tentu terjejas dengan salji yang turun namun sebahagian besar padang masih hijau dan pengadil memutuskan untuk meneruskan perlawanan.

"Kami meneruskan perlawanan kerana mereka memaklumkan kami untuk terus bermain tapi keadaan sangat sukar," kata Zidane.

"Bagi saya ini bukan perlawanan bola sepak. Pada akhirnya kami bermain dan itu saja."

Real Madrid akan beraksi menentang Athletic Bilbao di Malaga pada Khamis dalam aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol.

"Kami tidak tahu apa yang kami akan lakukan sekarang sama ada terus berada di sini untuk esok atau meneruskan perjalanan pada Isnin, kita lihat nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 10:06 AM