PENJAGA gawang Juventus Wojciech Szczesny menyelamatkan percubaan lawan. FOTO AFP
PENJAGA gawang Juventus Wojciech Szczesny menyelamatkan percubaan lawan. FOTO AFP
AFP

Milan: Federico Chiesa meledakkan dua gol untuk Juventus memberi kekalahan pertama buat pendahulu Serie A, AC Milan sekali gus menamatkan rekod 27 perlawanan tanpa kalah mereka apabila menang 3-1.

Bagaimanapun skuad Stefano Pioli masih mendahului carta liga dengan kelebihan satu mata mengatasi seteru utama Inter Milan yang terlepas peluang menguasai kedudukan liga apabila tewas 1-2 di Sampdoria.

AC Milan belum tewas sebarang perlawanan sejak perintah berkurung Mac lalu dengan 12 perlawanan tanpa kalah musim lalu menyaksikan mereka menamatkan aksi di tempat keenam dan 15 perlawanan musim ini.

Chiesa yang menyertai Juventus dari Fiorentina Oktober lalu meledakkan gol berganda pertamanya pada minit ke-18 dan 62 minit di San Siro dengan Weston McKennie mencetak nama sebagai penjaring ketiga, 15 minit sebelum tamat perlawanan.

"Kekalahan ini menyakitkan," kata Pioli.

"Jika ada lawan yang menyakitkan kami mereka ada Juventus yang menang Scudetto sembilan kali berturut-turut.

"Tapi memahami betapa teruknya perasaan selepas kalah itu akan membantu kami untuk berkembang."

Sementara itu pengendali Juventus Andrea Pirlo berkata: "Saya lihat semangat pasukan yang mahu mendahului dan menang. Perlawanan ini penting buat kami."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 8:57 AM