MUHAMMAD Ramadhan sebahagian daripada projek jangkamasa panjang JDT. FOTO ZAIN AHMED
MUHAMMAD Ramadhan sebahagian daripada projek jangkamasa panjang JDT. FOTO ZAIN AHMED
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak memberi fokus untuk mengikat bakat pemain muda ke dalam pasukan itu bagi memperkemaskan projek jangka masa panjang skuad yang memenangi kejuaraan Liga Super tujuh musim berturut-turut.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pemain baharu, Danial Amier Norhisham adalah contoh bakat muda yang diperlukan kelab bagi mencipta lebih banyak kejayaan.

Katanya, Danial Amier bukan sahaja berbakat besar malah seorang pemain yang mempunyai semangat juang tinggi di atas padang dan bersedia merebut tempat Dalam kesebelasan utama di JDT.

"JDT sentiasa fokus pada pelan jangka masa panjang. Mereka yang datang sini bukan datang bermain satu tahun selepas itu tahun depan tamat kontrak.

"Mereka datang sini dua, tiga dan empat tahun. Lagi lama lagi bagus kerana ia memberi kami peluang untuk membimbing dan mendidik mereka dengan sistem yang ada di sini.

"Saya rasa sistem yang ada di JDT adalah sistem yang terbaik. Kalau tak bagus, tak mungkin menang 16 piala dalam tempoh lapan tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT, di sini hari ini.

Tunku Ismail berkata, sistem penggiliran yang diamalkan di kem JDT beri peluang kepada pemain untuk mendapatkan minit permainan bagi membuktikan kemampuan masing-masing di atas padang.

"Siapa sangka Muhammad Ramadhan (Saifullah) akan dapat banyak peluang beraksi pada tahun ini manakala Arif Aiman (Mohd Hanafi) membuat penampilan pertama bersama skuad utama pada usia 18 tahun.

"Di JDT, kita tidak menilai pada senioriti, tapi memberi fokus kepada pemain yang bekerja kerja keras ketika latihan. Mungkin Danial yang baru berusia 23 tahun dapat minit permainan lebih banyak berbanding sesetengah pemain senior yang lain.

"Ketua jurulatih (Benjamin Mora) bukan sahaja fokus pada soal siapa lebih senior tetapi dedikasi serta komitmen di atas padang itu paling mustahak," kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 11:10 PM